Berita UtamaDunia

Qatar denda AS$275,000 jika peniaga jual barangan langgar nilai Islam

Peniaga turut berdepan risiko hilang lesen komersial

DOHA, 20 Muharam 1444H, Khamis – Peniaga di Qatar boleh berdepan denda sehingga AS$274,650 (satu juta riyal Qatar) jika mereka didapati menjual atau mempamerkan barangan yang dianggap tidak mematuhi nilai Islam, menurut Kementerian Perdagangan dan Industri (MOCI).

Bentuk hukuman lain mungkin termasuk penutupan pentadbiran untuk tempoh tiga bulan atau pembatalan lesen komersial.

Pekeliling kepada pembekal dan peniaga itu telah disiarkan di Twitter oleh MOCI disertai dengan pengumuman yang menyeru perniagaan supaya tidak memaparkan sebarang barangan, imej atau bahan visual atau audio yang akan melanggar nilai Islam, moral awam, adat dan tradisi.

Pekeliling itu menyebut fasal keempat Perkara 2 Undang-Undang No. 8 Tahun 2008 tentang Perlindungan Pengguna yang menetapkan “Hak untuk menghormati nilai agama, adat istiadat, dan tradisi.”

Kementerian juga meminta pengguna melaporkan sebarang barangan yang mengandungi slogan atau reka bentuk bertentangan dengan adat dan tradisi serta menyatakan lokasi mereka supaya pemeriksa kementerian boleh mengambil langkah sepatutnya.

Pada Disember MOCI mengumumkan bahawa ia telah ‘menyita mainan kanak-kanak yang mengandungi slogan yang bertentangan dengan nilai Islam’ dalam ciapan di laman Twitter yang disertakan dengan imej berwarna pelangi.

Pada Jun, langkah serupa telah dibuat oleh pihak berkuasa di negara jiran Arab Saudi yang merampas sejumlah mainan berwarna pelangi dan pakaian kanak-kanak, atas dasar ia menggalakkan homoseksual. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button