Berita Utama

Tiada kehendak punca negara lambat jayakan RUU kawalan rokok

Malaysia perlu contohi Singapura tegas bela rakyat dalam isu rokok

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 20 Muharam 1444H, Khamis – Tiada kehendak yang kuat menjadi punca mengapa usaha menjayakan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Rokok 2022 berdepan dengan pelbagai masalah.

Pensyarah Fisiologi Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Dr Rafidah Hanim Mokhtar berkata, sejak 1995 lagi Malaysia sudah memiliki fatwa mengenai rokok.

Namun begitu, katanya lagi, kelompongan dalam hal ehwal penegasan telah menyebabkan usaha murni ini gagal membuahkan hasil.

“Kita pernah memohon mengharamkan peranti vape tetapi masa itu tiada ‘will power’ sehinggalah kita bentangkan data-data penggunaan vape,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam program ‘Ke Arah Generasi Bebas Rokok dan Vape’ menerusi radio IKIM.FM, hari ini.

Prof Rafidah menjelaskan, beberapa negara telah mengharamkan rokok antaranya jiran terdekat Brunei, Thailand dan Singapura.

Katanya, demi melindungi kesihatan rakyat, sudah menjadi tanggungjawab buat Malaysia mencontohi negara-negara terbabit.

“Singapura sendiri pernah menahan rakyat Malaysia yang memasuki negara mereka kerana memiliki vape, ini menunjukkan mereka tegas dan membela rakyatnya,” katanya.

Beliau menegaskan, pengharaman rokok mampu dicapai jika semua pihak saling bekerjasama bagi menjayakannya.

Sebelum ini, Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) Parlimen yang meneliti RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 akan bermesyuarat untuk kali pertama pada minggu ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, mesyuarat itu akan mendengar pandangan 12 ahli JPK terdiri daripada enam Ahli Parlimen blok kerajaan dan enam daripada blok pembangkang.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button