Berita UtamaIstimewa

Utamakan guru bangsa sendiri punca murid vernakular lemah bahasa Melayu

Kebanyakan guru bukan opsyen tapi diarah ajar mata pelajaran Bahasa Melayu: PPPPPM

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 20 Muharam 1444H, Khamis – Mengutamakan guru daripada kaum sendiri untuk mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu dipercayai menjadi punca tahap penguasaan murid-murid sekolah vernakular tidak setanding dengan yang lain.

Perkara itu didedahkan Presiden Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (PPPPPM), Datuk Abdul Raouf Husin yang berpengalaman dalam proses pengesahan jawatan guru-guru sekolah vernakular sebelum ini.

Malah, dakwanya, sekolah itu pernah menolak sebanyak 1,208 penempatan guru baharu berbangsa Melayu sebelum ini.

“Ini pengalaman saya sendiri ketika mengendalikan proses temu duga bagi pengesahan jawatan guru-guru berkenaan, kebanyakan mereka bukan opsyen bahasa Melayu tetapi diarah mengajar mata pelajaran bahasa Melayu.

“Semuanya dibuat untuk ‘melindungi’ kelompok mereka di sekolah vernakular berkenaan.

“Bayangkan guru sendiri tidak fasih dan menguasai bahasa melayu dengan sempurna jadi bagaimana dia mampu memberi pengetahuan kepada anak-anak didiknya,” dakwanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan, Senator Datuk Dr Mah Hang Soon mengenai penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan murid sekolah vernakular yang semakin meningkat.

Abdul Raouf berkata, jika keadaan itu berterusan tidak mustahil tahap penguasaan bahasa Melayu murid-murid akan terus ‘hancur’.

“Pengurusan sekolah berkenaan menolak semua guru-guru kerana mengutamakan kaum Cina untuk mengajar bahasa Melayu walaupun tidak berkelayakan dan bukan opsyen bahasa Melayu,” dakwanya.

Selain itu, beliau mendedahkan, wujud perbezaan dalam kertas soalan Bahasa Melayu bagi Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) di antara sekolah kebangsaan dan sekolah vernakular.

Dakwanya, perkara ini menjadi bukti kukuh bahawa penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan murid-murid vernakular tidak setanding sekolah biasa.

“Sekiranya tahap penguasaan murid-murid sekolah vernakular sama kenapa perlu ada kertas soalan yang berbeza, semua ini bukti jelas penguasaan murid-murid di sekolah sana tidak setanding murid di sekolah kebangsaan,” dakwanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button