Dunia

Australia umum bantuan tambahan US$25 juta kepada Sri Lanka

Akan digunakan untuk makanan dan penjagaan kesihatan mendesak

ANKARA, 21 Muharam 1444H, Jumaat – Australia mengumumkan bantuan tambahan bernilai US$25 juta kepada Sri Lanka pada Jumaat, lapor Agensi Anadolu.

Menteri Luar Penny Wong dalam satu kenyataan berkata bantuan itu akan digunakan untuk memenuhi keperluan makanan dan tujuan penjagaan kesihatan yang mendesak di negara Asia Selatan itu.

Sri Lanka kini berdepan krisis ekonomi terburuk dalam tempoh 70 tahun.

“Dalam tempoh yang mencabar ini, Australia akan bersama-sama rakyat Sri Lanka, terutamanya mereka yang mengalami kesukaran yang teruk,” kata Wong.

Australia setakat ini telah menyalurkan bantuan US$75 juta melalui agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi membantu negara itu menyediakan perkhidmatan makanan, kesihatan, akses kepada bekalan air bersih, dan sokongan penting bagi mereka yang berisiko, termasuk wanita dan kanak-kanak, menurut kenyataan itu.

Sri Lanka lumpuh akibat kekurangan rizab pertukaran asing selepas ekonominya yang banyak bergantung kepada sektor pelancongan terjejas teruk, negara dengan 22 juta penduduk itu telah gagal membayar semua hutang asingnya.

Ia tidak mampu membayar harga makanan, bahan api dan keperluan lain, dan kekurangan bahan api menyebabkan bekalan elektrik terputus setiap hari.

Sekolah telah ditutup, dan kakitangan kerajaan telah diminta bekerja dari rumah. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button