Berita UtamaDunia

Israel didesak benarkan pertubuhan hak asasi Palestin teruskan tugas

Tiada bukti kukuh dakwa tujuh 'pertubuhan pengganas'

BAITULMAQDIS, 21 Muharam 1444H, Jumaat – Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Persatuan Agensi Pembangunan Antarabangsa (AIDA) mendesak kerajaan haram Israel membenarkan pertubuhan hak asasi manusia dan kemanusiaan Palestin meneruskan tugas mereka.

Ia susulan tindakan pasukan keselamatan Israel menceroboh, menggeledah dan menutup pejabat tujuh pertubuhan hak asasi manusia dan kemanusiaan Palestin di Ramallah di Tebing Barat yang diduduki yang ditetapkan kononnya sebagai ‘pertubuhan pengganas’.

Harta pertubuhan itu telah dirampas dan dimusnahkan bahkan arahan tentera yang menutup pejabat ditinggalkan di premis berkenaan.

Dalam satu kenyataan, agensi PBB dan AIDA berkata, pihak berkuasa Israel tidak memberikan sebarang bukti kukuh untuk menyokong dakwaan itu.

Beberapa negara anggota baru-baru ini mengumumkan bahawa bukti yang dikongsi dengan mereka tidak membenarkan penamaan tersebut.

“Percubaan penutupan pejabat pertubuhan ini merupakan siri tindakan terbaru oleh Israel yang mengehadkan lagi keupayaan hak asasi manusia, kerja kemanusiaan dan pembangunan di wilayah Palestin yang diduduki.

“Ia juga menjejaskan semua institusi yang bekerja untuk mempromosikan hak asasi manusia, pembangunan dan penyampaian bantuan.

“Kami mengulangi kenyataan November 2021 kami iaitu perundangan menentang keganasan mesti selaras dengan kewajipan di bawah undang-undang antarabangsa, khususnya, undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan undang-undang hak asasi manusia, yang merangkumi penghormatan penuh terhadap hak kebebasan berpersatuan dan bersuara,” katanya.

Katanya lagi, ia tidak boleh digunakan untuk hak asasi manusia dan kerja kemanusiaan yang sah; keluasan perundangan Anti-Keganasan Israel 2016 dan kesannya terhadap anggapan tidak bersalah menimbulkan kebimbangan serius di bawah undang-undang antarabangsa.

“Kami menggesa kerajaan Israel untuk menahan diri daripada sebarang tindakan yang akan menghalang pertubuhan ini daripada meneruskan kerja kritikal hak asasi manusia, kemanusiaan dan pembangunan mereka di wilayah Palestin yang diduduki,” tegasnya.

Pautan berkaitan;
https://ismaweb.net/2022/08/18/1tentera-rejim-zionis-serbu-pejabat-kumpulan-masyarakat-sivil-palestin/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button