Berita Utama

JHEAIPP digesa keluarkan lesen mesra muslim untuk premis makanan

Elak kejadian nasi ayam didakwa diambil dari premis bukan Islam berulang

GEORGE TOWN, 21 Muharam 1444H, Jumaat – Demi menjaga hak-hak pelanggan Islam, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) digesa mengeluarkan lesen mesra muslim untuk premis makanan di negeri ini.

Ia susulan tular dakwaan peniaga muslim di Sungai Ara yang mengambil bekalan nasi ayam dan nasi itik di kedai peniaga bukan Islam.

JHEAIPP kemudian mengesahkan kedua-dua premis di Sungai Ara dan Persiaran Gurney itu tidak memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

Menyatakan gesaan itu, Pengerusi Pertubuhan Pembangunan Ummah Pulau Pinang, Dr Zaki Ibrahim berkata, umat Islam berhak berasa selesa apabila menjamu selera di premis yang diurus selia dengan garis panduan menjaga kehormatan pelanggan.

“Oleh itu, kami mencadangkan JHEAIPP diberi kuasa untuk mengeluarkan lesen mesra muslim kepada gerai makanan dan restoran.

”Garis panduan untuk mendapat sijil pengiktirafan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) adalah lebih baik tetapi kita sedia maklum cabaran dan proses yang panjang untuk mendapat pengiktirafan halal Jakim,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, lesen mesra muslim wajar dikeluarkan oleh Unit Halal JHEIPP serta diberi kuasa untuk menjalankan pemantauan.

Sementara itu, katanya, pihak berkuasa agama Islam di Pulau Pinang perlu menyediakan mekanisma yang lebih komprehensif agar insiden tular membabitkan premis makanan di Sungai Ara dan Persiaran Gurney tidak berulang.

”Insiden ini mencemar imej Pulau Pinang apabila peniaga sebegini mementingkan keuntungan daripada tanggungjawab dan tidak menghormati pengunjung Islam,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button