Kerajaan tak peluk tubuh, bantu rakyat depani kos sara hidup
Kerajaan berusaha memastikan rakyat kalis cabaran

SHAH ALAM, 21 Muharam 1444H, Jumaat – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan tidak berpeluk tubuh sebaliknya sentiasa membantu Keluarga Malaysia dalam mendepani kos sara hidup dan inflasi serta berusaha memastikan rakyat kalis cabaran.
Beliau berkata selepas diuji pandemik, dunia kini berdepan pelbagai cabaran baharu dan paling genting ialah perubahan iklim, ketegangan geopolitik dan konflik Rusia-Ukraine.
“Gabungan semua faktor adalah antara punca kepada kenaikan harga barangan sehingga mengakibatkan kos sara hidup meningkat,” katanya ketika berucap merasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Selangor di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata pelbagai strategi jangka pendek, sederhana dan panjang dilaksanakan kerajaan yang membabitkan kerjasama semua kementerian, kerajaan negeri, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan serta seluruh Keluarga Malaysia.
“Hasilnya, hari ini kita dapat melihat ekonomi negara kita merupakan yang terbaik di Asia Tenggara dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 8.9 peratus bagi suku kedua tahun ini,” katanya. – Bernama