Berita Utama

KPM perlu perkemas SOP rakam aktiviti hiburan di sekolah

Pastikan tiada unsur-unsur keterlaluan, sensitif

BANGI, 21 Muharam 1444H, Jumaat – Tindakan membenarkan aktiviti hiburan di sekolah perlu dilakukan secara berhati-hati supaya tidak menyampaikan mesej yang salah kepada masyarakat mengenai peranan sekolah itu sendiri.

Atas dasar itu, Pensyarah Pendidikan JKP Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) Bahagian Unit Kajian, Dr Sarifah Nurhanum Syed Sahuri menyarankan pihak berautoriti melihat dan mengemaskini semula prosedur operasi standard (SOP) bagi mana-mana pihak yang ingin melakukan rakaman hiburan di sekolah.

Antara yang disyorkan adalah kandungan rancangan perlu menonjolkan sekolah sebagai institusi pendidikan yang terbaik dan tidak mengandungi unsur-unsur keterlaluan dan sensitif.

Selain itu, rakaman mestilah di luar waktu sekolah, bukan sewaktu sesi persekolahan berlangsung termasuklah hari hujung minggu yang diadakan aktiviti sekolah seperti hari sukan.

Turut disarankan ialah mengenakan denda pada kadar yang tinggi seperti RM10,000 bagi pihak yang tidak mematuhi SOP dan mewujudkan jawatankuasa pemantau khas bagi projek-projek hiburan tersebut apabila dilakukan di sekolah.

Dr Sarifah mengingatkan bahawa sekolah dibina dengan matlamat yang lebih besar iaitu mendidik, melahirkan generasi seperti dinyatakan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).

Bahkan banyak aktiviti kompleks yang berlaku dalam sekolah dan bilik darjah.

“Seringkali cerita cinta di sekolah dipaparkan dalam lagu, filem serta drama dan itulah yang tertanam dalam minda anak dan masyarakat kita yang menonton.

“Apatah lagi kalau unsur-unsur yang keterlaluan melalui babak-babak seperti rogol, buli melampau, aktiviti berunsur seksual turut dilakukan di sekolah.

“Babak ini bukan sahaja ditonton dalam bentuk rakaman, tetapi bayangkan pelajar yang menonton secara langsung,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, beliau berharap pandangan dilontarkan dapat membantu pihak Kementerian Pendidikan (KPM) memperkemas SOP sedia ada jika telah digunapakai selama ini.

Ini supaya masyarakat tidak memandang rendah, pihak tertentu tidak mengambil kesempatan dengan tujuan yang salah dan meremehkan peranan dan prestij institusi pendidikan.

“Bahkan, sewajarnya SOP ini lebih ketat berbanding SOP permohonan menempatkan para guru pelatih di sekolah untuk tujuan pelatihan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button