Berita Utama

KPN arah siasat segera ugutan terhadap Ketua Hakim Negara

Tengku Maimun digesa tarik diri daripada kes SRC Najib

KUALA LUMPUR, 21 Muharam 1444H, Jumaat – Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman untuk menyiasat sebarang ugutan terhadap Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Ancaman terhadap Tengku Maimun dikesan di pelbagai platform media sosial termasuk Twitter dan Facebook sejak malam Khamis (18 Ogos).

Acryl Sani berkata, ia adalah satu perkara yang serius dan siasatan berhubung ugutan sedemikian sedang dijalankan walaupun tiada laporan polis dibuat berhubung perkara itu.

“Saya sudah mengarahkan JSJ Bukit Aman memulakan siasatan dengan meneliti segala ancaman serta ugutan terhadap Ketua Hakim Negara dan siasatan sama turut membabitkan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT),” katanya, hari ini.

Beliau berkata, polis tidak akan bertolak ansur dengan sebarang unsur yang boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam.

Tengku Maimun merupakan pengerusi bagi panel lima hakim Mahkamah Persekutuan mendengar rayuan akhir yang sedang berlangsung membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk membatalkan sabitannya berhubung dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Beliau diugut dan digesa menarik diri daripadanya kerana didakwa wujud konflik kepentingan.

Antara ancaman yang dikesan di laman Twitter yang disiarkan oleh akaun Buletin RMS memaparkan seorang individu memaparkan komen berbaur ugutan dalam laman Facebook ‘Umno Online Post’.

“Hakim Maimun janganlah jatuhkan hukuman pada orang yang tak bersalah, silap-silap pembunuh upahan cari kamu dan bunuh kamu… yang salah patut dihukum yang tak bersalah harus dibebaskan dengan keadilan. Peguam Najib nak beri analisis dokumen itu supaya kamu dapat bezakan mana yang salah dan mana yang tidak salah, badan kehakiman dan AGC (Pejabat Peguam Negara) perlu dibersihkan segera… ini adalah konspirasi politik dan keadilan… bebaskan Najib segera daripada semua pertuduhan palsu yang dibuat oleh (PH), hentikanlah kezaliman,” katanya.

Bimbang dengan kolen itu, ramai netizen menyeru pihak polis untuk menyiasat ugutan tersebut.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button