Berita Utama

Penipuan kerja di luar negara, 168 rakyat Malaysia terkandas

182 laporan berkaitan kes itu diterima PDRM sejak 2021

KUALA LUMPUR, 21 Muharam 1444H, Jumaat – Seramai 238 warga tempatan menjadi mangsa sindiket penipuan bekerja di luar negara termasuk 168 orang yang masih terkandas di luar negara, kata Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin.

Beliau berkata sebanyak 182 laporan berkaitan kes itu diterima PDRM sejak 2021 dan seramai 70 individu telah berjaya diselamatkan.

Katanya hasil soal siasat mendapati mangsa diperdaya menerusi iklan peluang kerjaya di Facebook sebagai pegawai khidmat pelanggan di luar negara dengan bayaran yang lumayan.

“Mangsa yang tertarik dengan tawaran itu akan menghubungi ejen melalui aplikasi WeChat, WhatsApp dan Messenger. Setelah mendapat persetujuan mangsa, ejen memaklumkan akan mengurus dan menanggung kos perbelanjaan perjalanan ke destinasi pekerjaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noorsiah berkata setelah tiba di destinasi, semua dokumen perjalanan dan telefon mangsa akan dirampas dan dimusnahkan.

Beliau berkata mereka seterusnya dikurung dan dikawal ketat serta akhirnya dipaksa bekerja untuk sindiket perjudian online, scammer, pelaburan, love scam dan lain-lain penipuan.

“PDRM kini sedang bekerjasama dengan Kementerian Luar Negeri, Aseanapol (Polis Negara ASEAN), Interpol (Pertubuhan Polis Jenayah Antarabangsa) bagi mengesan dan membawa pulang mangsa yang masih terkandas.

“Ahli keluarga atau kenalan mangsa yang mempunyai sebarang maklumat dinasihatkan membuat laporan polis sekiranya belum berbuat demikian dan jangan berurusan terus dengan pihak sindiket atau orang yang tidak dikenali,” katanya.

Sementara itu, Noorsiah berkata menerusi Op Pintas ‘Daya’ pada 3 Ogos lepas, enam individu termasuk dua wanita warga tempatan telah ditahan kerana disyaki terlibat kegiatan sindiket sama.

“Kesemua yang ditahan berumur lingkungan 33 hingga 45 tahun bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 12 dan Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

“Turut dirampas adalah telefon bimbit, komputer riba, modem, penghala, pemacu pena dan wang tunai,” katanya.

Beliau berkata operasi tersebut dijalankan dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Pasukan Petugas Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) serta Kementerian Dalam Negeri. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button