Berita Utama

Rayuan terakhir Najib: Pendakwaan selesai hujah, pembelaan pilih tak berhujah

Berhubung kes penyelewengan RM42 juta milik dana SRC International

PUTRAJAYA, 21 Muharam 1444H, Jumaat – Pihak pendakwaan hari ini selesai mengemukakan hujahannya dalam rayuan terakhir Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara ke atasnya bagi kesalahan penyelewengan RM42 juta milik dana SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Persekutuan di sini.

Timbalan Pendakwa Raya ad hoc Datuk V. Sithambaram mengakhiri hujahannya pada 4 petang di hadapan panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

“Kami (pendakwaan) selesai mengemukakan hujahan kami,” kata Sithambaram.

Tengku Maimun kemudian menetapkan 23 Ogos untuk meneruskan pendengaran rayuan itu.

Ketika ini, peguam utama Najib, Hisyam Teh Poh Teik berdiri dan berkata: “Saya tidak akan membuat sebarang penghujahan.”

Hakim Tengku Maimun: Bukan secara lisan pun?

Hisyam: Bukan secara lisan.

Tengku Maimun: Tidak mengapa. Kami akan tunggu… pada Selasa (23 Ogos) dan kita tengok macam mana. Kamu ada tiga hari (Sabtu, Ahad dan Isnin). Jangan beritahu kami bahawa kamu tidak bersedia untuk berhujah bagi mana-mana 94 alasan dalam petisyen rayuan. Tidak mengapa jika tidak bersedia untuk memfailkan hujahan bertulis. Boleh berhujah secara lisan.

Hisyam: Saya tidak akan membuat hujahan.

Tengku Maimun: Terpulang kepada kamu. Dalam rekod kamu adalah peguam. Kita tunggu Selasa ini.

Sebelum pihak pendakwaan menyelesaikan hujahannya, Hisyam memohon penangguhan prosiding rayuan itu sehingga Khamis ini kerana mempunyai kes lain pada Selasa dan Rabu.

Ketua Hakim Negara itu sekali lagi dengan tegas berkata seperti yang telah dinyatakan berkali-kali, tiada penangguhan ke atas rayuan itu.

“Kita akan meneruskan seperti yang dijadualkan,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button