Sembilan terbunuh dalam serangan peluru berpandu di pasar Syria
28 cedera dalam serangan pada hari Jumaat itu

ALEPPO, 21 Muharam 1444H, Jumaat – Sembilan orang terbunuh termasuk lima kanak-kanak dalam serangan peluru berpandu ke atas sebuah pasar di bandar Al-Bab di utara Syria hari ini, menurut petugas kecemasan yang bekerja di kawasan dikuasai pembangkang, lapor Reuters.
White Helmets, sebuah kumpulan penyelamat bekerja di bahagian Syria yang masih dipegang oleh puak pembangkang bersenjata berkata, sekurang-kurangnya 28 lagi cedera.
Bagaimanapun, tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.
Puak-puak yang berperang dalam konflik Syria selama 11 tahun telah menjadikan beberapa tempat di utara sebagai zon kawalan.
Al-Bab terletak dalam kawasan wilayah Aleppo yang dipegang oleh kumpulan pembangkang disokong Turkiye, tetapi bahagian lain dipegang tentera kerajaan Syria disokong oleh Russia.
Pasukan Demokratik Syria (SDF) disokong Amerika Syarikat (AS), diterajui oleh kumpulan Kurdish yang membuka dialog dengan kerajaan berpangkalan di Damsyik, juga mengawal bahagian utara dan timur laut.
Ketua pusat media SDF, Farhad Shami berkata, kumpulan itu tidak ada kena mengena dengan serangan hari ini.
Aktivis di Al-Bab telah merancang protes selepas solat Jumaat untuk mengecam komen Turkiye yang menyeru perdamaian antara kerajaan Syria dan pembangkang.
Dalam satu kenyataan yang diedarkan kepada media selepas serangan itu, para aktivis membatalkan demonstrasi kerana bimbang keganasan selanjutnya. – Agensi