Berita Utama

Sukar dipercayai Najib butakan mata berjuta masuk akaun sendiri

Demikian kata Timbalan Pendakwa Raya ad hoc Datuk V Sithambaram

PUTRAJAYA, 21 Muharam 1444H, Jumaat – Sukar dipercayai bahawa bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah bertindak membutakan mata dan memekakkan telinga berhubung kemasukan wang berjuta-juta ke dalam akaun peribadi beliau, Mahkamah Persekutuan diberitahu hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya ad hoc Datuk V. Sithambaram berkata dengan aliran masuk sejumlah besar wang ke dalam akaun bank beliau, perayu (Najib) sekurang-kurangnya perlu membuat pertanyaan mengenai sumber dan kesahihan kesemua dana ini.

“Membutakan mata dan memekakkan telinga berhubung kemasukan wang berjuta-juta ke dalam akaun banknya atas alasan tunggal bahawa pengurusan akaun terbabit telah diwakilkan kepada bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC Nik Faisal Ariff Kamil dan selama lima tahun beliau secara peribadi tidak mengetahui baki di dalam akaunnya adalah benar-benar sukar dipercayai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berhujah di hadapan panel lima hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Turut bersidang Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim serta Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd.

Sithambaram berkata Najib juga kononnya bergantung kepada Allahyarham Datuk Azlin Alias (setiausaha sulit Najib) untuk mengetahui sama ada beliau boleh mengeluarkan ceknya.

“Perayu secara terang-terangan enggan mengakui bahawa beliau mengetahui baki di dalam akaun banknya kerana perkara itu akan mengaitkan pengetahuan beliau dengan deposit RM42 juta ke dalam akaun bank peribadinya.

“Najib tidak pernah memberi keterangan mengenai sama ada beliau pernah bertanyakan perkara itu kepada Azlin, Nik Faisal atau ahli perniagaan dalam buruan Low Teik Jho, atau Jho Low, mengenai sumber dana tersebut yang digunakan untuk berbelanja tanpa banyak soal,” katanya.

Sithambaram berhujah meskipun sumber dana di dalam akaun Najib menjadi bahan siasatan rasmi oleh pihak berkuasa yang berkaitan, perayu terus kekal pasif dan tidak cuba membuat sebarang laporan polis mengenai dana yang telah didepositkan ke dalam akaun peribadi beliau.

“Apabila dimaklumkan bahawa dana itu adalah daripada SRC, beliau sekali lagi tidak berbuat apa-apa,” katanya.

Sithambaram juga berkata Ahli Parlimen Pekan itu berkeras bahawa wang yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya adalah sumbangan daripada kerabat diraja Arab Saudi.

Bagaimanapun, beliau berkata hakim yang mendengar perbicaraan kes itu telah membuat pertimbangan yang wajar bahawa cerita mengenai sumbangan kerabat diraja Arab Saudi adalah sukar dipercayai apabila dipertimbang dengan keseluruhan bukti.

Menyentuh isu pengetahuan, peguam itu berkata Najib sendiri telah mengakui bahawa wang itu datangnya daripada SRC.

Ini, katanya, disahkan oleh Najib dalam afidavit yang difailkan terhadap bekas Presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik pada 2016.

Justeru, Sithambaran berkata adalah jelas Najib telah dengan sengaja berbohong apabila menyatakan bahwa beliau tidak mengetahui sumber dana itu ketika disoal mengenai perkara tersebut pada perbicaraan kes SRC.

Pendakwaan kemudian mengakhiri hujahan dan prosiding pendengaran rayuan itu bersambung pada Selasa depan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button