Berita Utama

Tanah Air berikrar mahu terus perkasakan bahasa Melayu

Semua pihak perlu pertahan bahasa kebangsaan dari terhakis

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 21 Muharam 1444H, Jumaat – Gerakan Tanah Air yang kini dikenali dengan singkatan Tanah Air berbanding GTA dahulu, berikrar memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi apabila berjaya memimpin negara kelak.

Timbalan Pengerusinya, Ustaz Zamani Ibrahim berkata, semua warganegara perlu mempertahankan bahasa kebangsaan daripada terhakis.

“Kita malu dengan Singapura bagaimana pemimpin mereka boleh berbahasa Melayu tetapi kita di sini banyak Ahli Parlimen lemah dalam bahasa Melayu bahkan kadang kala institusi sekolah pun.

“Sebab itu kita lihat apabila Tanah Air memimpin negara, kita akan meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi sesuai dengan bagaimana bahasa itu diangkat oleh Perlembagaan.

“Jangan kita merendahkan bahasa Melayu. Siapa pun yang menjadi kerajaan, bangsa apa pun mereka mesti mengutamakan bahasa Melayu dalam semua bidang, aspek pengurusan, pentadbiran dan sebagainya,” katanya dalam temu bual Dimensi di TV Pertiwi, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menggesa, pihak berkuasa memperkasakan kedua-dua tulisan bahasa Melayu iaitu Rumi dan Jawi di semua peringkat sekolah.

Jelasnya, tindakan itu bagi memastikan pelajar menguasai bahasa Melayu dan dua tulisan yang dimiliki bahasa itu sendiri.

“Tetapi sayangnya kita hari ini malu dengan rakan segagasan, kita undur ke belakang dan tidak berani mengungkapkan kita mesti memperjuangkan bahasa Melayu.

“Sedangkan pihak lain mengambil peluang di atas kelemahan kita. Ini yang saya rasakan antara agenda besar juga bagi Tanah Air untuk memperkasakan bahasa Melayu dan Insya-Allah yang penting kita mesti berkuasa kerana dengan kuasa itulah kita boleh memartabatkan bahasa Melayu,” katanya.

Pautan Dimensi;
https://www.facebook.com/watch/live/?ref=search&v=761464471743929

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button