Berita Utama

Agong berkenan terima Ijazah Kedoktoran Kehormat dari Universiti Marmara

Iktiraf sumbangan baginda dalam bidang Sains Politik dan Hubungan Antarabangsa

ISTANBUL, 22 Muharam 1444H, Sabtu – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dianugerahkan Ijazah Kedoktoran Kehormat oleh Universiti Marmara sebagai mengiktiraf sumbangan baginda dalam bidang Sains Politik dan Hubungan Antarabangsa.

Ijazah Kedoktoran Kehormat itu disampaikan oleh Rektor Universiti Marmara Profesor Dr Mustafa Kurt berdasarkan sumbangan Seri Paduka dalam memelihara keamanan sejagat serta memperkukuh hubungan Turkiye dan Malaysia dalam satu majlis di universiti berkenaan di sini.

Seri Paduka dipersembah dengan persalinan jubah kedoktoran baldu merah bersulam emas beserta sijil dan sebuah plak.

Turut mengiringi baginda menerima penganugerahan itu ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Naib Presiden Turkiye Fuat Oktay.

Turut hadir Menteri Pengiring yang juga Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Universiti Marmara merupakan universiti di mana Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan menerima ijazah pada 1981.

Semasa berkenan menerima skrol itu, Al-Sultan Abdullah menzahirkan ucapan terima kasih kepada universiti berkenaan dan berbesar hati dianugerahkan ijazah kedoktoran kehormat tersebut.

Yang di-Pertuan Agong bertitah ijazah kedoktoran kehormat itu bukan sahaja begitu bermakna buat diri baginda tetapi juga merupakan penghormatan tertinggi yang diberikan kepada Malaysia dan rakyatnya.

“Ia merupakan cerminan tahap pengiktirafan dan penghormatan bersama tertinggi antara kedua-dua negara kita yang sememangnya bersaudara,” titah baginda.

Sebagai negara Islam yang moden serta progresif, Yang di-Pertuan Agong bertitah Malaysia dan Turkiye boleh memupuk kerjasama lebih kukuh dalam bidang pendidikan.

Al-Sultan Abdullah percaya inisiatif sedemikian boleh menjadi pemangkin kepada umat Islam yang bersatu dan lebih kuat.

“Ketika kepercayaan itu tersebar dalam kalangan masyarakat yang pelbagai, pendidikan menjadi jalan penting untuk mewujudkan susunan sosial yang universal dan padu. Dalam skop ini, adalah besar harapan beta Turkiye akan menerima lebih ramai pelajar Malaysia untuk belajar di pelbagai institusi pendidikannya.

“Penyelidik bersama, sarjana dan pelajar, pertukaran dan perkongsian penemuan adalah beberapa elemen yang boleh diusahakan oleh institusi pendidikan kita,” titah Seri Paduka.

Menyentuh Lawatan Negara itu, Seri Paduka bertitah ia bertujuan mengeratkan lagi hubungan persaudaraan antara Malaysia dan Turkiye yang telah menjalin hubungan diplomatik sejak 1964.

“Sejak itu, silaturahim kedua-dua negara telah diperkukuh dengan hubungan politik, ekonomi dan budaya yang lebih erat. Ikatan antara rakyat Malaysia dan Turkiye terus berkembang dengan semakin banyak lawatan. Peningkatan lawatan dan interaksi akan membolehkan kedua-dua negara mengenal pasti bidang kerjasama baharu yang memberi manfaat kepada rakyat,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah turut mengulangi penghargaan baginda kepada Erdogan atas layanan mesra terhadap delegasi Malaysia semasa Lawatan Negara itu.

“Di bawah kepimpinannya, kedua belah pihak telah mencapai tahap kekuatan baharu dalam hubungan dua hala yang akan memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.

“Beta berdoa agar Allah Yang Maha Kuasa akan melimpahkan rahmat-Nya kepada Turkiye dan rakyatnya,” titah Al-Sultan Abdullah.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sedang mengadakan Lawatan Negara tujuh hari ke Turkiye yang bermula Isnin lepas. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button