Berita UtamaDunia

Bapa maut ditembak rejim Israel sebelum majlis perkahwinan anak perempuan

Sawafta ditembak ketika berjalan keluar dari majlis selepas solat Subuh

TEBING BARAT, 22 Muharam 1444H, Sabtu – Seorang lelaki Palestin meninggal dunia akibat luka yang dialami selepas tentera Israel menembaknya di bandar Tubas, Tebing Barat utara, hanya seminggu sebelum majlis perkahwinan anak perempuannya.

Salah Tawfiq Sawafta ditembak oleh tentera Israel di kepala ketika dia berjalan keluar dari masjid tempatan berhampiran rumahnya di Tubas selepas menunaikan solat Subuh di bandar utara Tebing Barat pada hari Jumaat, lapor agensi berita rasmi Palestin, Wafa.

Kemudian pada hari itu, Kementerian Kesihatan Palestin mengesahkan dalam satu kenyataan akhbar bahawa lelaki berusia 58 tahun itu mengalami kecederaan kritikal di kepala dan meninggal dunia akibat lukanya di hospital.

Rakaman video menunjukkan Sawafta tidak bersenjata dan cuba memasuki sebuah kedai sebelum ditembak.  

Laporan mengatakan Sawafta telah menghantar jemputan ke majlis perkahwinan anak perempuannya, yang dijadualkan diadakan minggu depan.

Media Palestin juga melaporkan, seorang lagi lelaki yang tidak dikenali mengalami kecederaan di kaki akibat peluru hidup Israel.

Perdana Menteri Palestin, Mohammad Shtayyeh mengecam pembunuhan Sawafta berkata, rejim Israel akan meneruskan tindakan keganasannya selagi dunia gagal menghentikan dwi standard dalam menangani jenayah Israel dan membenarkan Tel Aviv terus bertindak tanpa hukuman.

Gabenor Tubas dan Lembah Jordan Utara, Younis al-Asi mengutuk pembunuhan itu dan berkata: “Pendudukan Israel berusaha untuk mencapai proses damai melalui serangan berulang ke atas rakyat kita dan pembunuhan harian rakyat, tanpa bertanggungjawab oleh masyarakat antarabangsa.”

Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, rejim Israel telah meragut nyawa 134 rakyat Palestin sejak awal tahun ini. 

Ini termasuklah 49 rakyat Palestin dengan 17 daripadanya kanak-kanak yang terbunuh dalam pengeboman tiga hari di Semenanjung Gaza baru-baru ini. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button