Berita UtamaDunia

Bimbang konsert terus menerus di Malaysia, bawa budaya kuning

Konsert suburkan perasaan kecintaan terhadap budaya Hedonisme

BANGI, 22 Muharam 1444H, Sabtu – Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi melahirkan rasa kebimbangan terhadap penganjuran konsert melibatkan artis antarabangsa yang diadakan secara bertubi-tubi di negara ini.

Beliau berkata, masyarakat dikejutkan dengan laporan bahawa terdapat sembilan kali penganjuran konsert melibatkan penyanyi antarabangsa akan diadakan selepas ini. 

Tegasnya, situasi ini sangat mengecewakan berikutan umum mengetahui penganjuran konsert berskala besar seperti ini lebih mendatangkan kemudaratan daripada kebaikan.

“Kita perlu melahirkan kebimbangan terhadap kesan penganjuran konsert ini berikutan golongan belia adalah kumpulan yang paling ramai menghadirinya. 

“Selain daripada konsert ini menggalakkan pergaulan bebas di antara lelaki dan wanita, ia juga akan menyuburkan perasaan kecintaan terhadap budaya Hedonisme atau pandangan yang cenderung kepada keseronokan semata-mata,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ia dilaksanakan di kala Malaysia baru memasuki fasa peralihan ke endemik dan menyaksikan negara diuji dengan musibah kesihatan serta ekonomi.

“Seharusnya negara yang majoritinya penganut beragama Islam banyak memuhasabahkan diri dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

“Ini agar kehidupan kita dipenuhi dengan keberkatan dalam menuju ke dunia akhirat nanti,” katanya.

Bimbang dengan perkara itu, Che Abdullah mencadangkan pihak berkuasa seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKM) memperketatkan syarat kelulusan penganjuran konsert.

Ini supaya budaya kuning yang dibawa masuk dari negara Barat dapat dikekang, tegasnya.

“Saya berharap ketegasan dari pihak kerajaan dapat mengurangkan kesan gejala sosial yang semakin membarah pada waktu ini.

“Kita memahami fitrah manusia yang memerlukan hiburan, namun seharusnya hiburan itu dilaksanakan mengikut lunas syariat yang telah diletakkan oleh Allah SWT dan Nabi Muhammad ﷺ,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button