Berita Utama

Pulau Pinang naikkan bayaran sagu hati jurunikah, saksi

Kadar baharu RM250 akan mula dikuat kuasa pada 1 Mac depan

BANGI, 21 Rejab 1443H, Rabu – Bermula 1 Mac ini, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP) bersetuju menaikkan kadar bayaran sagu hati bagi jurunikah dan dua lagi saksi di negeri berkenaan.

Pengarahnya, Datuk Mohd Zakuan Zakaria berkata, bayaran sagu hati itu dinaikkan kepada RM250 berbanding RM120 sebelum ini, yang telah dikuat kuasa sejak 15 tahun lalu.

“Sebelum ini sagu hati untuk jurunikah adalah RM100 manakala kedua-dua saksi pula RM10 seorang.

“Pada 1 Mac nanti, jurunikah akan menerima sagu hati RM150 manakala kedua-dua saksi RM50 seorang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zakuan menjelaskan, kadar baharu itu berpatutan atas jasa jurunikah dan kedua-dua saksi memandangkan tugas mereka bukan mudah berikutan bertanggungjawab memastikan majlis akad nikah berjalan lancar mengikut syariat ditetapkan.

Malah, tinjauan yang dijalankan JHEAIPP juga mendapati kadar upah saksi terlalu adalah rendah iaitu RM10 seorang, dan berharap kadar bayaran baharu itu dapat membantu mereka.

Terdahulu, tular satu surat menerusi media sosial memaklumkan Mesyuarat Majlis Agama Islam Pulau Pinang bersetuju meluluskan cadangan menaikkan bayaran sagu hati jurunikah dan dua orang saksi nikah di negeri itu daripada RM120 kepada RM250 bermula 1 Mac ini.

Menerusi surat itu, turut dimaklumkan perkara tersebut akan dimaklumkan kepada pegawai dan kakitangan di semua Pejabat Agama Daerah.

Kadar bayaran baharu itu akan bermula dikuat kuasa pada 1 Mac depan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button