Berita Utama

Lelaki ditahan berhubung kes ugut Ketua Hakim Negara

Lelaki berusia 30 tahun itu ditahan di Puchong pada 11.15 malam

KUALA LUMPUR, 22 Muharam 1444H, Sabtu – Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes ancaman dan ugutan di media sosial ke atas Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, semalam.

Lelaki berusia 30 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Puchong pada 11.15 malam.

Ketua Komunikasi Korporat Bukit Aman ACP A.Skandaguru berkata polis menerima laporan mengenai ancaman dan ugutan itu yang dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook ‘Apiez Bond’.

Beliau berkata polis juga merampas satu unit telefon bimbit berserta kad sim dipercayai digunakan untuk memuat naik hantaran ugutan itu.

“Suspek telah direman selama empat hari mulai hari ini sehingga Selasa untuk siasatan lanjut dan siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Jabatan Siasatan Jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Skandaguru berkata kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana mengeluarkan kenyataan yang berkecenderungan menghasut dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana menakutkan secara jenayah.

Katanya, siasatan juga dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Beliau berkata polis memandang serius perkara terbabit dan tidak bertolak ansur dengan sebarang tindakan membabitkan isu salah laku jenayah dan ketenteraman awam selain tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil.

Ancaman terhadap Tengku Maimun dikesan dalam pelbagai medium laman sosial, termasuk aplikasi Twitter dan Facebook sejak tengah malam tadi. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button