Negara tidak capai kemajuan pembangunan jika gagal tangani rasuah
‘Pilih orang yang tak layak jadi pemimpin adalah perbuatan khianat’

BANGI, 22 Muharam 1444H, Sabtu – Negara yang gagal menangani rasuah tidak akan mencapai kemajuan, walaupun memiliki hasil pendapatan bertambah.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Allah SWT tidak akan memberi keberkatan kepada golongan yang mengizinkan kemungkaran menjadi wabak dalam negaranya.
“Memilih orang yang tidak layak menjadi pemimpin adalah suatu bentuk perbuatan khianat yang akan menghancurkan dunia.
“Golongan yang mengamalkan politik wang tidak akan memilih pemimpin dan pentadbir yang berintegriti kerana sifat integriti itu hanya terdapat dalam kalangan mereka yang beriman dan budiman, bukan sekadar mempunyai ilmu,” katanya menerusi Minda Presiden PAS di laman sosialnya, hari ini.
Beliau menegaskan, ajaran Islam menegaskan semua kemungkaran yang berlaku wajib dicegah.
“Amalan rasuah ialah kemungkaran yang menjadikan seseorang itu berdosa besar, sama ada pemberi, penerima dan orang tengah yang terlibat dengan amalan rasuah,” katanya.
Ahli Parlimen Marang itu menjelaskan, beliau pernah membuat perbandingan melawan rasuah dengan usaha mencegah penyakit denggi dan dilihat caranya sama sahaja iaitu wajib dilakukan secara holistik.
Tegasnya, tindakan berkenaan dibuat supaya tidak menjadi wabak apabila diambil tindakan tidak menyeluruh sehingga ke akar umbi, khususnya terhadap mereka yang menjadi punca rasuah.
Malah, katanya, teori ciptaan manusia menjadikan kebanyakan manusia yang berpura-pura menentang rasuah juga paling banyak melakukan rasuah secara proksi atau menggunakan khidmat ‘kambing hitam’.
“Hal ini menjadikan tindakan yang diambil itu tidak memberikan apa-apa faedah, sekalipun ketika mereka sendiri mendapat peluang berkuasa,” katanya
Justeru, Abdul Hadi berkata, negara perlu diselamatkan daripada pengkhianat dan penipu bagi mencapai kesejahteraan.