Berita Utama

PAS bersedia bertembung BN dalam PRU15

'Kita boleh pakat, kalau mahu lawan pun kita boleh lawan': Timbalan Presiden PAS

BANGI, 22 Muharam 1444H, Sabtu – PAS menyatakan kesediaan dengan pelbagai kemungkinan termasuk bergerak secara solo dan bertembung dengan parti-parti lain dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun, PAS akan tetap memperkukuhkan Perikatan Nasional (PN) dalam persiapan ke arah tersebut, kata Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Saya melihat Barisan Nasional (BN) banyak buat keputusan untuk bergerak solo jadi kalau BN buat keputusan begitu, kita sedia hadapi dalam semua kemungkinan. Kalau muafakat, kita boleh pakat kalau mahu lawan pun kita boleh lawan.

“Ya, sedia bertembung tetapi sebagaimana kita tahu keputusan parti ini akan dibawa ke majlis pimpinan masing-masing. Bagi parti kita, kita bergerak atas PN sebab PAS sebahagian daripada PN.

“Apa pun paling penting rakyat dapat manfaat daripada kerajaan yang stabil dan adil, itu fokus kepada rakyat.

“Kita tidak mahu kerajaan yang tidak stabil sebab ekonomi negara masih belum pulih sepenuhnya,” katanya seperti dilapor akhbar tempatan, hari ini.

Bagaimanapun, Tuan Ibrahim sekali lagi menegaskan PAS bersedia berbincang dengan mana-mana parti yang mahu bekerjasama dengannya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button