Berita Utama

Penganjuran konsert ‘merosakkan’ undang masalah sosial

Rakyat seharusnya ambil iktibar dengan apa yang berlaku: Idris

BANGI, 22 Muharam 1444H, Sabtu – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berpendirian penganjuran konsert yang merosakkan tidak perlu diadakan dalam negara.

Tegas beliau, tidak sepatutnya pelaksanaan aktiviti hiburan yang disifatkan sebagai berpotensi mengundang masalah sosial dalam kalangan masyarakat di negara ini.

“Saya tetap tegas berpendirian bahawa penganjuran konsert yang merosakkan adalah tidak perlu. Jika hiburan tanpa batasan ini menjadi budaya, kita akan melihat pembinaan generasi pincang.

“Kita bukan anti hiburan namun kita tidak bersetuju dengan penganjuran konsert yang boleh mengundang masalah sosial dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya, hari ini.

Tegas beliau, rakyat seharusnya mengambil iktibar dan keinsafan dengan apa yang berlaku termasuk negara dilanda wabak COVID-19 sehingga kini belum selesai sepenuhnya.

Khamis lalu, bintang elektropop, Billie Eilish mengadakan persembahan sulung, Konsert Billie Eilish: Happier Than Ever, The World Tour di Malaysia yang berlangsung di Stadium Bukit Jalil dan dihadiri lebih 25,000 peminat.

Terdahulu, Ketua Pemuda PAS, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari mengecam penganjuran konsert berkenaan dan menyifatkan aktiviti hiburan tersebut sebagai ‘kerja gila’ dengan penganjuran konsert ‘bertalu-talu’ di negara ini.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, penganjuran konsert sedemikian hanya menjemput kemurkaan Allah SWT.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button