Qatar kecam penutupan pertubuhan hak asasi Palestin oleh Israel
Penyerbuan berterusan lemahkan peluang capai keamanan

DOHA, 22 Muharam 1444H, Sabtu – Qatar mengecam dan mengutuk serangan Israel yang berterusan ke atas rakyat Palestin, ketika pasukan pendudukan menutup pertubuhan hak asasi Palestin di Tebing Barat, lapor media tempatan.
Menurut laporan itu, kenyataan rasmi menyatakan bahawa serangan berterusan, termasuk penyerbuan Masjid Al-Aqsa, melemahkan peluang untuk mencapai keamanan dan menghapuskan penyelesaian dua negara, sambil meningkatkan ketegangan serantau.
Kabinet kerajaan Qatar menyeru masyarakat antarabangsa untuk meningkatkan usaha dalam melaksanakan resolusi menghentikan keganasan Israel dan mengakui hak Palestin menubuhkan sebuah negara merdeka, berdasarkan sempadan 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya.
Minggu lalu, Israel membunuh 49 rakyat Palestin, termasuk 17 kanak-kanak semasa pengeboman selama tiga hari.
Israel menutup tujuh pertubuhan hak asasi Palestin pada hari Khamis, tetapi mereka dengan tegas menyatakan akan meneruskan operasi.
Israel telah melabelkan kumpulan masyarakat sivil ini sebagai ‘organisasi pengganas’ tetapi diplomat Kesatuan Eropah (EU) menegaskan bahawa dakwaan Israel mengenai penyalahgunaan dana kumpulan Palestin yang disasarkan atau hubungan antara mereka dan organisasi pengganas tidak dapat dibuktikan.
Wakil EU ke wilayah Palestin, Sven Kuhn von Burgsdorff berkata, sokongan diberikan EU untuk bekerjasama dengan institusi Palestin yang diserbu dan ditutup oleh pihak berkuasa Israel tidak akan berhenti.
Semasa lawatan solidariti oleh beberapa diplomat Eropah ke ibu pejabat Yayasan Al-Haq di Ramallah, mereka mengecam penutupan ibu pejabat institusi bersama enam institusi hak asasi manusia dan sivil yang lain, selain penyitaan beberapa harta benda organisasi. – Agensi