Berita Utama

Tiada usul tamatkan kerjasama dengan UMNO dibawa ke muktamar PAS

Namun terdapat usul berkaitan mengukuhkan penyatuan ummah dan MN

ALOR SETAR, 22 Muharam 1444H, Sabtu – PAS tidak menerima sebarang usul berkaitan menamatkan hubungan kerjasama dengan UMNO menerusi Muafakat Nasional (MN) untuk dibawa dan diputuskan pada Muktamar Tahunan PAS kali ke-68 pada 3 dan 4 September ini.

Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan, sebaliknya berkata terdapat PAS peringkat kawasan yang menghantar usul berkaitan mengukuhkan penyatuan ummah dan MN sejajar dengan pendirian parti itu.

“Kita ada 197 kawasan PAS di seluruh negara yang menghantar usul kepada PAS Pusat dan setakat ini kita belum memuktamadkan usul-usul diterima tanpa bahas dan usul-usul yang akan dibahaskan pada muktamar kali ini.

“Antara usul yang memang dibangkitkan ialah berkenaan MN tapi tidak lebih daripada kita menekankan isu penyatuan ummah dan setakat ini tiada usul diterima bercanggah dengan pendirian PAS,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Beliau berkata pendirian PAS berkaitan penyatuan ummah amat jelas yang bukan sahaja terhad dengan UMNO, tetapi juga parti lain dalam menjamin kestabilan politik demi kesejahteraan negara.

Takiyuddin berkata PAS juga sedang berusaha mencari jalan bagi mengelak pertembungan dengan UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dilihat akan merugikan dalam konteks penyatuan ummah.

“Kita masuk pilihan raya kita mahu menang, ada situasi apabila pertandingan lebih dua penjuru, kedua-dua pihak yang terlibat dalam penyatuan ummah ini kalah dan yang menang pihak ketiga, jadi saya boleh mengesahkan bahawa usaha untuk mengelakkan perkara itu menjadi keutamaan kita,” katanya.

Sementara itu, Takiyuddin berkata seramai 1,300 perwakilan akan menyertai muktamar tahunan kali ini yang akan berlangsung di Kompleks PAS Kedah di sini, yang bermungkinan menjadi muktamar terakhir parti itu sebelum PRU15 akan datang.

Selain itu, beliau berkata PAS turut menjemput wakil daripada semua parti komponen dalam Perikatan Nasional, pimpinan tertinggi UMNO serta pengerusi Gerakan Tanah Air Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kita turut menjemput perwakilan daripada parti-parti politik luar negara terutama yang melibatkan gerakan Islam, wakil kedutaan di negara ini…bagaimanapun setakat ini semua jemputan belum ada lagi pengesahan kehadiran,” katanya.

Beliau berkata sejajar dengan muktamar kali ini, PAS turut mengadakan Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat, Muktamar Dewan Ulama PAS, Muktamar Dewan Muslimat PAS Pusat, Konvensyen Dewan Himpunan Pendukung PAS dan Konvensyen Assabiqun (veteran) PAS pada 1 dan 2 September. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button