Berita Utama

Ugut Ketua Hakim Negara, buru segera individu terbabit: BERJASA

Tindakan tak profesional beri gambaran tidak baik kepada institusi kehakiman

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 22 Muharam 1444H, Sabtu – Tindakan mengugut Ketua Hakim Negara berhubung kes perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah perbuatan tidak profesional.

Malah, ia boleh menjejaskan keselamatan negara dan memberikan gambaran tidak baik kepada institusi kehakiman, kata Naib Presiden BERJASA, Haji Samad Ashaari.

Katanya, tidak sewajarnya individu-individu lain yang bukan dalam bidang tersebut mencampuri urusan melibatkan undang-undang negara.

“Tindakan memberi ugutan adalah perbuatan yang tidak profesional dan tidak wajar orang luar mencampuri urusan terutama bukan dalam bidang perundangan.

“Gangguan berkenaan hanya mengganggu perjalanan perbicaraan tersebut dan boleh memberi kesan dari sudut emosi kepada pihak tersebut.

“Sepatutnya orang luar khususnya memberi sokongan kepada pihak perundangan memandangkan golongan panel hakim tersebut arif mengenai perundangan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Samad berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak boleh bertolak ansur dalam isu ini kerana melibatkan individu penting dalam negara.

Justeru, beliau melihat isu ugutan ini sebagai serius dan PDRM perlu segera memburu individu terbabit untuk dihukum.

Sejak Khamis lalu, ancaman terhadap Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Man dikesan dalam pelbagai medium laman sosial, termasuk aplikasi Twitter dan Facebook.

Malah, terdapat pengguna di Facebook mengugut pembunuh upahan akan mencari beliau jika hukuman dijatuhkan kepada individu tidak bersalah.

Tengku Maimun merupakan pengerusi bagi panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan yang mendengar rayuan akhir sedang berlangsung membabitkan Najib untuk membatalkan sabitannya berhubung dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Turut bersidang Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Abang Iskandar Abang Hashim dan tiga Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Nalini Patmanathnan, Mary Lim Thiam Suan serta Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button