Berita Utama

UMNO takkan beri kerusi pada bekas pemimpin khianat, lakukan u-turn

Tiada ruang buat mereka tanding atas tiket BN

MACHANG, 22 Muharam 1444H, Sabtu – UMNO tidak akan memberi ruang dan kerusi kepada mana-mana bekas ahlinya yang mahu melakukan pusingan U demi pilihan raya akan datang.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, partinya terbuka untuk menerima kembali bekas ahli namun tidak sehingga membolehkan mereka bertanding atas tiket parti.

“Tidak ada ruang kepada mana-mana bekas pemimpin UMNO yang keluar parti dan ingin kembali semula kepada parti itu untuk bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Kita terbuka terima, asal sahaja Melayu kita terima, namun untuk memberi kerusi kepada mereka bertanding pada PRU ini adalah tidak mungkin.

“Ini termasuk pemimpin senior yang dahulunya menjawat jawatan tertinggi dalam parti UMNO. Mereka ini adalah pengkhianat! Namun atas nama bangsa Melayu, UMNO menerima kemasukan semula mereka,” katanya seperti dilapor Sinar Harian, hari ini.

Ahmad Jazlan berkata demikian ketika mengulas isu berkaitan kemasukan semula ramai ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ke UMNO.

Beliau memaklumkan, sehingga Sabtu ramai ahli Bersatu di peringkat bawah yang dahulunya dari UMNO kini membuat ‘u-turn’ dan kembali semula bersama parti keramat itu.

Menilai situasi itu, beliau berpandangan, bekas ahli UMNO yang ada di dalam Bersatu kini sudah mula sedar bahawa ‘parti bunga’ tidak ada masa depan.

Ketika ditanya berhubung kerjasama dengan parti lain pada PRU akan datang, Ahmad Jazlan berkata, UMNO Kelantan sekali lagi kekal dengan pendirian untuk bergerak secara solo.

“UMNO Kelantan di semua peringkat sama ada Dewan Undangan Negeri (DUN) mahupun Parlimen sudah bersedia pada bila-bila masa untuk menghadapi PRU15.

“Keputusan sudah dibuat di peringkat negeri, kami tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti. Kami akan bergerak solo,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button