Berita UtamaDunia

Abbas tuntut Israel bebaskan tahanan Palestin

Rakyat tidak akan tinggalkan wilayah diduduki

RAMALLAH, 23 Muharram 1444H, Ahad – Presiden Palestin, Mahmoud Abbas menggesa pihak berkuasa negara haram Israel membebaskan semua tahanan Palestin dari penjara Zionis.

Berucap pada majlis perasmian dua projek amal di bandar Ramallah Tebing Barat, beliau mendesak tuntutan untuk menangani isu pelarian Palestin dan pembebasan semua tahanan mesti diteruskan.

Menurut laporan Palestin, hampir 4,550 tahanan Palestin di penjara Israel, termasuk 175 bawah umur dan 27 tahanan wanita, bersama-sama dengan 670 tahanan yang ditahan di bawah tahanan pentadbiran Israel tanpa tuduhan atau perbicaraan.

Sabtu lalu, tahanan Palestin di penjara Israel mengancam untuk melancarkan mogok lapar terbuka bagi membantah penderaan Israel.

Selama bertahun-tahun, rakyat Palestin yang dipenjara oleh Israel melancarkan mogok lapar bagi menuntut keadaan hidup yang lebih baik dan penamatan penahanan selama-lamanya.

Abbas berikrar bahawa rakyat Palestin tidak akan meninggalkan wilayah yang diduduki mereka.

“Kami tidak akan meninggalkan negara walau apapun syaratnya,” katanya.

Pada 1993, Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan Israel menandatangani perjanjian Oslo, yang memberikan rakyat Palestin satu bentuk pemerintahan sivil, namun rundingan gagal untuk menyelesaikan perjanjian dan membawa kepada negara Palestin.

Rundingan damai antara Palestin dan Israel gagal pada April 2014 apabila Tel Aviv enggan menghentikan pembinaan penempatan dan membebaskan tahanan Palestin yang dipenjarakan sebelum 1993. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button