Dunia

Indonesia rekod kes pertama cacar monyet

Babit lelaki 27 tahun dipercayai pulang dari luar negara

JAKARTA, 23 Muharram 1444H, Ahad – Indonesia mengesahkan jangkitan pertama cacar monyet di negara itu membabitkan individu yang pulang dari luar negara.

Jurucakap kementerian kesihatan berkata, lelaki berusia 27 tahun itu disahkan positif virus berkenaan di Jakarta pada lewat Jumaat.

Katanya, kes yang juga warganegara Indonesia dilaporkan sihat dan hanya menunjukkan simptom ringan, kini diarah mengasingkan diri di rumah.

“Kami telah membuat langkah susulan dengan mengesan kontak rapat dan akan memeriksa mereka,” katanya sambil menambah kerajaan dalam proses mendapatkan sekitar 10,000 vaksin untuk cacar monyet.

Kementerian Kesihatan Indonesia menggesa orang ramai supaya kekal tenang dan memberi jaminan bahawa penyakit cacar monyet boleh dirawat.

Setakat ini, Indonesia telah menguji 22 kes yang disyaki dari seluruh negara, dan semuanya dilaporkan negatif virus itu.

Negara jiran Singapura melaporkan kes tempatan pertama bulan lalu dan telah mengesahkan 15 kes.

Sementara di negara lain Asia Tenggara, Filipina dan Thailand juga mengesahkan kes mereka.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan cacar monyet sebagai kecemasan kesihatan global, dengan lebih 40,000 kes yang disahkan termasuk beberapa kematian di lebih 80 negara.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button