Dunia

Israel tiada bukti kukuh tuduh 7 NGO Palestin ‘pengganas’: PBB

Langkah rejim haram hadkan kerja kemanusiaan, pembangunan

GENEVA, 23 Muharram 1444H, Ahad – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sedang berhubung dengan pihak berkuasa haram Israel susulan penutupan tujuh NGO awam Palestin di bandar Ramallah, Tebing Barat yang diduduki.

Timbalan jurucakap Setiausaha Agung PBB, Farhan Haq berkata, agensi PBB yang bekerja di wilayah Palestin mengambil serius tuduhan membiayai keganasan dan dakwaan Israel terhadap tujuh NGO Palestin sebagai ‘pertubuhan pengganas’ atau melanggar undang-undang.

Beliau berkata, langkah Israel itu menghadkan lagi keupayaan hak asasi manusia, kerja kemanusiaan dan pembangunan di wilayah Palestin yang dijajah.

Haq berkata, pihak berkuasa Israel tidak memberikan sebarang bukti kukuh kepada PBB yang menyokong penetapan mereka terhadap NGO Palestin.

Justeru, dia menyeru Israel untuk tidak melakukan sebarang tindakan yang akan menghalang pertubuhan itu daripada meneruskan kerja kemanusiaan dan pembangunan di wilayah Palestin.

Khamis lalu, tentera Israel menyerbu ibu pejabat tujuh NGO Palestin di Ramallah dan mengisytiharkan mereka ditutup.

NGO yang diserbu ialah Persatuan Sokongan Tahanan dan Hak Asasi Manusia Addameer, Pusat Al-Haq, Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Bisan, Kesatuan Jawatankuasa Wanita Palestin, Kesatuan Jawatankuasa Kerja Kesihatan, Kesatuan Jawatankuasa Kerja Pertanian dan Pertahanan untuk Kanak-Kanak Antarabangsa Palestin.

Tindakan itu dibuat selepas tentera menamakan organisasi berkenaan sebagai ‘kumpulan pengganas’, sementara NGO terbabit menyifatkan Israel cuba mencabul hak asasi manusia rakyat Palestin.

Sementara itu, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas menegaskan penutupan NGO itu sebagai tindakan yang tidak boleh diterima.

Katanya, tujuh NGO itu akan meneruskan kerja mereka dalam mendedahkan penjajahan serta jenayah Israel terhadap rakyat di Palestin tanpa mempedulikan perintah penutupan berkenaan.

“Kita semua mesti berdiri bersama dan menghadapi dasar Israel ini yang berkeras ke hadapan dengan tindakan unilateral, tanpa menghiraukan semua perjanjian yang ditandatangani antara kedua-dua pihak serta melanggar undang-undang antarabangsa,” katanya.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button