Berita Utama

PAS tetap mahu satukan parti politik Melayu

Sanggup lupakan sengketa dengan UMNO sebelum ini

BANGI, 23 Muharram 1444H, Ahad – PAS kekal dengan pendirian mahukan penyatuan parti-parti Melayu sekali gus menyangkal dakwaan kononnya parti itu terdesak untuk bersama dengan UMNO bagi memastikan mereka terus relevan.

Naib Presidennya, Datuk Idris Ahmad berkata, penyatuan parti-parti Melayu – terutama UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) – itu penting demi masa depan generasi akan datang.

Menurutnya, apa yang dilakukan bukan untuk kepentingan politik PAS atau kepentingan politik individu.

“Bukan untuk kepentingan saya sendiri sebagai orang dah tua, tapi kita fikir tentang politik generasi akan datang,” katanya seperti dipetik media tempatan hari ini.

Idris berkata, perpecahan hanya akan membawa keburukan kepada generasi muda kerana mereka yang akan meneruskan perjuangan.

Justeru, katanya, PAS tetap mahu bertindak sebagai penyatu dan sanggup melupakan sengketa dengan UMNO sebelum ini kerana mahukan penyatuan parti-parti Melayu.

Namun, sekiranya UMNO kekal dengan pendirian tidak mahukan penyatuan, mereka terpaksa berdepan pada pilihan raya akan datang, katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button