Berita Utama

Rafizi cabar BN namakan calon Perdana Menteri jika menang PRU15

PH perlu dua, tiga bulan lagi yakinkan rakyat

BANGI, 23 Muharram 1444H, Ahad – Suasana politik ketika ini menunjukkan orang ramai tidak sepenuhnya memihak kepada Barisan Nasional (BN).

Atas dasar itu, Pakatan Harapan (PH) mengambil pendirian defensif menyatakan kesediaan sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan pada Oktober atau November depan, kata Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.

“Justeru, kita perlukan dua atau tiga bulan lagi untuk yakinkan rakyat. Jika Oktober atau November ini Ismail Sabri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) umumkan akan mengadakan PRU, Insya-Allah kita sudah bersedia.

“Kalau tak lakukan sesuatu, lagi banyak skandal akan keluar dalam lima tahun akan datang,” katanya seperti dipetik Berita Harian hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut mencabar BN menamakan calon perdana menteri parti itu jika memenangi PRU15.

Katanya, BN khususnya UMNO sekarang berada dalam keadaan kucar-kacir, ditambah pula skandal projek kapal tempur pesisir (LCS) yang menjadi ‘modal’ untuk menyerang sesama sendiri.

“Dulu UMNO berlagak tanya siapa PM jika PH menang PRU. Sekarang kita mahu tanya semula, siapa calon PM BN?

“Najib masih mahu jadi PM. Beliau yakin masih boleh jadi PM. Zahid pun mahu. Habis PM sekarang, Ismail Sabri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) takkan tidak mahu?,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button