Berita Utama

Tingkat kemudahan internet untuk pastikan kelas hibrid berkesan

Harap projek rintis dapat diperluas ke sekolah di luar bandar: iGuru

BANGI, 23 Muharram 1444H, Ahad – Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) mengesyorkan supaya kerajaan meningkatkan kemudahan internet dan jalur lebar di seluruh negara bersesuaian dengan teknologi 5G.

Presidennya, Ustaz Mohd Azizee Hasan berkata, langkah itu bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan projek kelas hibrid yang akan bermula November depan.

Beliau berkata, iGuru menyambut baik pelaksanaan projek rintis itu, namun beberapa perkara perlu ditambah baik supaya dapat melonjakkan kecemerlangan pendidikan negara.

“iGuru mencadangkan untuk peruntukan kewangan yang besar terutama penyediaan peralatan pembelajaran seperti TV pintar, skrin layar dan alat peranti, selain latihan intensif kepada guru-guru dalam menggunakan teknologi pembelajaran secara digital.

“Manfaatkan pelantar pendidikan seperti platform ‘Delima’, Google Education Learning dan sebagainya, termasuk menyediakan kelas yang kondusif dan interaktif mengambil kira bilangan murid yang bersesuaian untuk sesi pengajaran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Kementerian Pendidikan (KPM) bakal melaksanakan projek rintis membabitkan 550 kelas hibrid di 110 sekolah terpilih di seluruh negara bermula November depan.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Mohd Radzi Md Jidin berkata, 110 sekolah di seluruh negara itu termasuk Sabah dan Sarawak yang dipilih dengan setiap lima bilik darjah sekolah akan ditingkatkan sambungan internet untuk membolehkan pengajaran dan pembelajaran (PdP) dilaksanakan secara hibrid.

Mohd Azizee berkata, pelaksanaan projek rintis ini bersesuaian dengan perkembangan semasa di peringkat global terutama di era pembelajaran digital dan IR 5.0.

Beliau turut berharap pelaksanaan itu dapat memberikan manfaat kepada guru dan murid, selain melonjakkan kecemerlangan pendidikan negara.

“Projek rintis ini diharap dapat mempercepatkan perkongsian ilmu dan kemahiran sekali gus mendedahkan murid-murid untuk menggunakan aplikasi pembelajaran digital seperti smart TV, skrin layar dan peranti berkaitan.

“iGuru berharap projek ini akan meningkatkan pengetahuan murid, kreativiti dan inovasi guru serta perkongsian pintar PdP antara sekolah-sekolah sekali gus merapatkan jurang pendidikan dan digital,” katanya.

Pada masa sama, iGuru turut berharap pelaksanaannya dapat diperluaskan ke sekolah-sekolah lain termasuk di luar bandar, dengan meningkatkan kemudahan internet supaya turut sama mendapat manfaat daripada projek rintis ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button