158 Ketua UMNO Bahagian sebulat suara desak PRU15 disegerakan
'Kami mahu segera. Kenapa? Tak payah sebutlah': Jamal Md Yunos

BANGI, 24 Muharam 1444H, Isnin – Majoriti Ketua UMNO Bahagian bersetuju supaya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan secepat mungkin.
Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, kesemua mereka menyuarakan hasrat berkenaan kepada pucuk pimpinan untuk diputuskan antara pimpinan lima tertinggi UMNO.
“Kami mahu pilihan raya diadakan dalam kadar yang paling segera. Kenapa? Tak payah sebutlah.
“Keputusan ini akan disampaikan kepada Perdana Menteri oleh Setiausaha Agung, tapi hari ini mengambil keputusan daripada Ketua UMNO Bahagian,” katanya seperti dilapor akhbar tempatan, hari ini.
Terdahulu, perjumpaan tergempar khas kira-kira 11 pagi tadi diadakan di antara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama ketua-ketua bahagian yang disifatkan sebagai penting.
Mengulas lanjut, Jamal berkata, kesemua lima pimpinan utama hadir pada mesyuarat berkenaan kecuali Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Beliau dalam masa yang sama turut menjelaskan sebab Ketua UMNO Bahagian dipanggil secara mengejut.
Katanya, ia bertujuan untuk melihat kesiapsiagaan jentera pilihan raya di tiap-tiap bahagian.