Berita Utama

Tiga teras negara selamatkan politik daripada kucar-kacir

Pilih pemimpin berwibawa, semangat patriotisme tinggi, setia pada negara

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 22 Safar 1443H, Rabu – Teras kenegaraan mesti dijadikan rujukan dalam pembinaan negara kerana mampu menyelamatkan sistem politik daripada terus kucar-kacir.

Tiga teras utamanya adalah Islam, Melayu dan sistem beraja.

Presiden gerakan Islam Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni berkata, teras negara tidak boleh diubah dalam apa jua keadaan kerana ia membentuk Perlembagaan, budaya dan rujukan serta dianggap kiblat kepada negara.

Sejak dahulu, Malaysia sememangnya sebuah negara yang menjadikan Islam sebagai rujukan.

“Begitu juga dengan nilai-nilai Melayu, saya bukan maksudkan dengan tanjak dan kain samping, tetapi nilai yang memberi keamanan kepada negara khususnya.

“Budaya yang kita ada cukup dan memberi kestabilan kepada negara, contohnya budaya kesopanan yang mampu melahirkan individu yang bersopan dan berbudi pekerti.

“Begitu juga sistem beraja yang menjadi teras utama, walaupun moden kita masih bersyukur kerana sistem beraja masih dikekalkan sehingga hari ini dan ianya perlulah dipertahankan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam program Bicara Negara ‘Bangsa Merdeka Sejarah & Masa Hadapan’ anjuran ISMA cawangan Kajang, malam tadi.

Bagi memastikan teras negara terus terpelihara, Ustaz Fauzi menyeru supaya rakyat memilih pemimpin yang berwibawa, mempunyai semangat patriostime yang tinggi, setia kepada negara, faham teras negara dan sekali gus boleh membangun negara.

“Ini tumpuan kita, jika tersilap membuat pilihan, kesan akan datang adalah beberapa tahun seterusnya. Jadi penting untuk pilih pemimpin yang dapat menentukan negara aman atau atau kucar kacir,” katanya.

https://www.facebook.com/ismakajang/videos/204254835140088

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button