Berita Utama

92 peratus prosedur kes tertunggak di hospital KKM selesai

Meliputi 48,952 prosedur pembedahan, 3,570 bukan pembedahan

BANGI, 24 Muharam 1444H, Isnin – Sebanyak 52,522 prosedur bagi kes tertunggak di hospital-hospital Kementerian Kesihatan (KKM) ekoran pandemik COVID-19 telah dapat dilaksanakan sehingga 31 Julai lalu.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, ia meliputi 48,952 kes berkaitan prosedur pembedahan dan 3,570 kes berkaitan prosedur bukan pembedahan.

Katanya, ini bermakna, 92 peratus daripada jumlah kes tertunggak yang dicatatkan pada bulan September telah berjaya diselesaikan.

“Justeru, jumlah kes yang masih tertunggak sehingga 31 Julai 2022 adalah sebanyak 4,833 kes dan hanya melibatkan prosedur pembedahan daripada disiplin pembedahan paediatrik dan pembedahan kardiotorasik.

“KKM akan terus berusaha untuk mempertingkatkan perkhidmatan kesihatan kepada seluruh Keluarga Malaysia dan komited untuk menyelesaikan baki 4,833 kes yang masih tertunggak dalam tempoh masa terdekat ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau memaklumkan, pada 30 September 2021, data KKM menunjukkan terdapat 57,355 kes tertunggak di hospital-hospital KKM yang meliputi 53,785 kes berkaitan pembedahan (surgical-based) dan 3,570 kes berkaitan prosedur bukan pembedahan (medical-based).

“Kes-kes ‘surgical-based’ adalah meliputi pembedahan am, pembedahan neuro, pembedahan paediatrik, pembedahan plastik dan rekonstruktif, pembedahan kardiotorasik, pembedahan vaskular, urologi, ginekologi, ortopedik, oftamologi dan otorinolaringologi.

“Manakala, kes-kes medical-based termasuklah sleep study, lung function test, stem cell procedure, radiotherapy and CT simulation dan coronary angiography,” katanya.

Khairy berkata, bagi menangani kes-kes tertunggak itu, beberapa inisiatif telah dilakukan KKM antaranya penyumberluaran pesakit ke hospital swasta dan pembukaan semula dewan-dewan bedah elektif di hospital-hospital kerajaan secara berperingkat bermula pada Oktober 2021.

Selain itu, inisiatif pembedahan elektif hari Sabtu dari jam 8 pagi hingga 5 petang di hospital-hospital berpakar seluruh negara bermula Disember dan melaksanakan pembedahan secara besar-besaran.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button