Berita Utama

Dasar sumber manusia, modal insan akan diteliti semula: PM

Kerajaan komited menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi

KUALA LUMPUR, 24 Muharram 1444H, IsninPerdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akan meneliti semula dasar-dasar melibatkan sumber manusia dan modal insan dalam usaha mengekalkan dan menarik bakat berkemahiran ke pasaran kerja tempatan.

Beliau berkata, Majlis Tindakan Ekonomi yang bermesyuarat hari ini mengakui selain menghadapi cabaran dalam mencipta peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, negara kini berdepan saingan dari negara maju yang menawarkan gaji lebih tinggi untuk menarik bakat berkemahiran ke sektor berpotensi tinggi.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan hari ini.

Ismail Sabri berkata, kerajaan komited menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi yang berpaksikan penerimagunaan teknologi baharu serta penciptaan dan pembangunan teknologi tempatan.

Di samping itu, katanya kerajaan juga akan terus berusaha membangunkan bakat masa hadapan bagi pertumbuhan yang inklusif dan mampan.

Katanya Majlis Tindakan Ekonomi juga bersetuju dengan cadangan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi supaya langkah intervensi diambil bagi meningkatkan kedudukan Malaysia ke kedudukan 20 teratas dunia dalam Indeks Inovasi Global (Global Innovation Index).

Katanya ini selari dengan sasaran kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Selain itu, satu langkah strategik inovasi akan diwujudkan bagi meningkatkan pengkomersialan teknologi dan inovasi negara berikutan ketidakpadanan bidang berkenaan dengan kehendak industri.

“Kerajaan sentiasa berusaha memastikan negara sentiasa bergerak maju ke hadapan seiring dengan perubahan teknologi dan memenuhi keperluan semasa pasaran buruh bagi menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button