Berita Utama

MAFI, KPDNHEP diminta bentang kajian bekalan makanan negara

Meliputi kajian strategi pertanian pintar, kegunaan tanah

PUTRAJAYA, 24 Muharam 1444H, Isnin – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) diminta membentangkan satu kajian yang holistik berkaitan hala tuju bekalan makanan negara, kata Anggota Pasukan Jihad Tangani Inflasi Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Ia meliputi kajian berkaitan strategi pertanian pintar, kegunaan tanah bagi tanaman padi, bekalan daging dan harga ikan kembung yang semakin meningkat, katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Pasukan Jihad Tangani Inflasi ke-12 di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) berkata jawatankuasa itu telah mendengar pembentangan daripada Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) berkaitan kajian terhadap lima barang makanan iaitu kubis, ikan kembung, sawi, rumusan bayi dan daging.

“Sudah bentang (kajian), tapi kita cuma cadang supaya kajian ini daripada perspektif KPDNHEP perlu digabungkan dengan MAFI.

“Umpamanya pertanian pintar dan berkaitan dengan padi, usaha perlu dilaksanakan untuk memastikan kawasan penanaman padi tidak merosot,” katanya.

Mengenai ikan kembung, beliau berkata MyCC turut membentangkan mengenai harganya yang semakin meningkat dan ada rakyat yang tidak mampu beli ‘ikan rakyat’ itu.

Menurutnya Malaysia bergantung kepada 40 peratus pengeluaran ikan kembung tempatan dan 60 peratus lagi diimport dari luar negara iaitu ikan segar dari Thailand dan ikan sejuk beku dari China.

“Ia (harga ikan) ada kaitan dengan sumber perikanan negara. Tindakan yang diambil ialah meningkatkan bekalan ikan sejuk beku kerana ia jauh lebih murah berbanding ikan segar,” katanya menambah usaha perlu dilakukan untuk meningkatkan minat rakyat Malaysia makan ikan akua atau ikan air tawar.

Dalam perkembangan lain, Mustapa berkata bekalan dan harga ayam dalam negara adalah stabil dengan harga purata RM8.57 sekilogram, lebih rendah berbanding harga siling RM9.40 sekilogram yang ditetapkan kerajaan di Semenanjung Malaysia.

“Bekalan tiada masalah, (bekalan) telur pun tiada masalah, harganya selari dengan harga yang ditetapkan kerajaan iaitu bagi Gred A umpamanya 45 sen sebiji,” katanya.

Berkaitan Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM), Mustapa berkata setakat minggu lepas, 120 daripada lebih 600 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) telah melaksanakannya.

“Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi akan terus menggerakkan semua lima kementerian peneraju untuk memastikan JMKM ini menjangkau semua DUN sekurang-kurangnya dua kali sebulan agar seramai mungkin rakyat dapat manfaat daripada inisiatif itu dalam mengurangkan beban kos sara hidup,” katanya.

Selain KPDNHEP, empat kementerian peneraju yang bekerjasama bagi pelaksanaan program JMKM ialah MAFI; Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi; Kementerian Pembangunan Luar Bandar; dan Kementerian Wilayah Persekutuan.

Program JMKM yang memberi akses kepada rakyat mendapatkan barangan keperluan dijual antara 10 hingga 20 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran, dijadual berlangsung selama 18 minggu sehingga akhir tahun ini. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button