Dunia

Taiwan atur penerbangan bawa pulang rakyatnya dari Myanmar

Myanmar menyaksikan tunjuk perasaan antikudeta di seluruh negara sejak 1 Februari

TAIPEI, 5 Rejab 1442H, Rabu – Taiwan mengatur dua penerbangan untuk rakyatnya yang ingin meninggalkan Myanmar susulan krisis politik di negara itu, menurut Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei (TECO) di Myanmar, lapor Agensi Berita Pusat Taiwan (CNA).

Dua penerbangan dikendalikan syarikat penerbangan utama Taiwan, China Airlines (CAL) itu, dijadualkan terbang dari Taipei ke Yangon dan kembali pada 21 dan 28 Februari.

Warga Taiwan yang berminat boleh menghubungi CAL untuk maklumat lanjut, kata pejabat itu dalam kenyataan akhbar pada Isnin.

TECO, kedutaan de facto Taiwan di Myanmar meminta warganya supaya bertenang ketika muncul pelbagai maklumat yang tidak sahih mengenai keadaan politik.

Jika berlaku kecemasan, warga Taiwan boleh menghubungi talian telefon (95) 9-257-257-575, kata TECO dan laman webnya akan mengemas kini maklumat mengenai situasi di Myanmar dari semasa ke semasa.

Meskipun operasi syarikat Taiwan di Myanmar secara beransur-ansur kembali normal sejak awal Februari, beberapa syarikat perdagangan menghadapi masalah mengeksport barang kerana ketidakstabilan politik, kata TECO.

Myanmar menyaksikan tunjuk perasaan anti-kudeta di seluruh negara sejak 1 Februari ekoran rampasan kuasa tentera dan Aung San Suu Kyi serta pemimpin lain yang dipilih secara demokratik ditahan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button