Artikel Khas

MCA dan MIC tak kuat, jangan minta lebih-lebih, cermin diri dulu

Jika UMNO masih 'simpan' dua parti ini, ia ibarat jaga biawak hidup

UMNO jangan terpedaya lagi dengan sandiwara MCA dan MIC jika mahu menang PRU15. Jangan sama sekali serahkan kerusi majoriti besar Melayu atau kerusi pasti menang kepada dua parti ini. Jika mereka menang kerusi kawasan majoriti Melayu, pasti mereka akan menjadi ‘king maker’ yang akan merugikan Melayu Islam.

Saya cukup hairan bagaimana MCA dan MIC, boleh mengatakan partinya kuat dan masih mendapat sokongan kaum masing-masing. Bukti kajian menunjukkan, sokongan Cina bukan kepada MCA. Begitu juga India kepada MIC, tetapi kepada DAP dam PKR. Kalau adapun yang menyokong, bilangannya kecil, meskipun parti ini sentiasa berbangga dengan keahlian yang ramai begitu ramai, melebihi satu juta (MCA).

Setelah kalah teruk dalam PRU14, mereka menggunakan hujah PRN Melaka dan Johor adalah bukti bahawa sokongan kaum masing-masing telah bertambah. Berapa peratus? Sedikit sangat.

Walhal, keputusan tetap menunjukkan yang memenangkan mereka mereka sendiri, tetapi, tetap orang Melayu (UMNO). Cuba MCA dan MIC bertanding sendirian di kawasan yang dimenanginya itu, tanpa sokongan Melayu, boleh menang ke tidak?

Sebab itu, jangan cakap tahi. Cakap biar bersandar fakta. Tidak usahlah terlalu ultra kiasu sangat. Realitinya, kedua parti ini sudah tidak relevan lagi dalam arus politik Malaysia. Pengaruh boleh dikatakan langsung tiada, tetapi masih tidak mahu mengakui dirinya lemah. Tetapi yakin tetap kuat dan relevan.

Terbaharu, tengok cara pemimpin MIC respon kepada pemimpin UMNO yang mengkritik kelemahan MIC, sepantas kilat dijawab. Apabila Nur Jazlan, Ketua UMNO Kulai kata, UMNO (BN) tidak boleh bergantung harap kepada MCA dan MIC untuk memberikan sumbangan besar kepada gabungan politik berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Maka dibalas oleh pemimpin MIC, BN wujud kerana adanya MIC dan MCA yang setia. MIC juga yang hebat. Jika tidak, BN sudah tidak wujud. Nur Jazlan dikatakan tidak sedar diri, sebab itu dia kalah dalam pilihan raya lalu. Seterusnya bila Nazri Aziz, ahli Parlimen Padang Rengas berkata, pengundi India lebih percaya kepada pemimpin kaum itu dalam DAP dan PKR berbanding parti MIC, dan menyifatkan MIC sebagai pengemis yang menang dalam pilihan raya atas ihsan UMNO.

Sepontan ditempelak Presiden MIC, dengan berkata, menjadi pengemis lebih baik daripada pelacur politik. Nazri dikatakan pelacur politik, tidak wujud lagi dalam arena politik BN. Nazri yang ada sekarang hanya Nazri yang mementingkan diri sendiri yang tidak mempedulikan UMNO dan BN.

Hebat parti perkauman ini bukan? Tiada hujah, lebih kepada serangan peribadi. Inilah istilah yang saya berikan selama ini iaitu ultra kiasu, tidak mahu kalah, mahu sentiasa menang. Diri lemah dikatakan kuat. Diri tiada ada penyokong, dikatakan kuat dapat sokongan.

Dalam kata lain, katakanlah apa sahaja tentang kelemahannya, dia tetap akan mempertahankan, mengatakan dia tetap kuat, tanpa mahu mencermin diri. Itulah MCA dan MIC. Biawak hidup yang disimpan selama.

Pada hemat saya, jika MIC dan MCA merasa dirinya kuat dan hebat, pengundi kaum bertambah seperti PRN Johor dan Melaka, maka tidak payahlah mengemis undi di kawasan selamat, majoriti Melayu. Bertandinglah di kawasan, paling kurang 50-50. Kenapa pilih kawasan selamat.

Paling ketara, sekarang ini selain dari mahukan kerusi tradisi, mereka turut menuntut tambahan kerusi yang ditinggalkan parti Gerakan. Sebab itu, MIC buat Konvensyennya di parlimen Simpang Renggam, baru-baru ini. Idamkan kerusi Simpang Renggam rupanya. Tengok strategi dia. Sedangkan kita tahu bahawa Parlimen Simpang Renggam, ahli Parlimen sekarang ini Maszlee Malik (PKR). Letak calon MIC, pasti kalah. Bila MIC kalah, yang rugi siapa? Sudah tentu UMNO. Maszlee sudah tentu tersenyum bila MIC masuk bertanding menentangnya. Bayangkan kalau saya yang bertanding lawan Maszlee, tak tidur malam dia. Saya bergurau sahaja.

UMNO (BN) jangan tertipu lagi. Ada atau tidak MCA MIC (BN) dalam PRU15 ini sudah tidak relevan lagi, jika UMNO mahu menang. Daripada susah payah mengharapkan wujudnya BN sehingga sanggup gadai kerusi majoriti Melayu, yang merupakan maruah Melayu, lebih baik, aktifkan Muafakat Nasional (MN). Kita nak tengok, menggeletar atau tidak MCA dan MIC.

Jika MN berjaya dihidupkan, usahkan satu kerusi, kempunan terus MCA dan MIC, serta mereputlah ia selepas itu. Sebab itu saya yakin, MCA dan MIC ini memang tidak senang hati jika hubungan UMNO-PAS dalam MN terjalin erat kerana akan menjadi mereka terus tidak relevan.

Saranan saya kepada MCA dan MIC, pergi ambil cermin yang paling besar. Cermin diri. Lihat diri kamu. Kalau masih tidak sedar lagi, pinjam cermin sakti cermin hikmat cerita filem Melayu Bidasari. Nampak macam lawak, itulah hakikat

Ingat! PRU15 adalah pertarungan antara hidup dan mati.

MIC ini namanya Malaysian Indian Congress, sebiji nama India, parti berasaskan kaum, sama seperti MCA, Parti Cina. Apa erti kedua parti ini, jika tidak mendapat sokongan bangsa sendiri. Malah, ahli atau pengundi mereka menyokong parti lain (PH).

Sepatutnya, bila namanya berasaskan kaum, sudah tentu sokongan padu sepatutnya diperolehi daripada kaumnya. Tetapi itu tidak berlaku. Jadi, apa keperluannya lagi menjadi parti berasaskan kaum ini, bubarkan sahaja.

Tidak seperti UMNO, jelas sebuah parti Melayu, sokongan Melayu tidak berubah. Keahliannya ramai. Sebut tiga juta, tidak hairan.

Tetapi ini langsung tidak berlaku kepada MCA dan MIC. Apa relevannya jika parti berasaskan kaum ditolak kaum sendiri.

Jika UMNO simpan juga, ia seolah-olah menyimpan biawak hidup. Sekadar mahukan warna, boleh sahaja lantik kaum masing-masing sebagai senator untuk mewakili kaum mereka ketika pembentukan cabinet. Apa susah?

Apa yang dikatakan oleh Nur Jazlan dan Nazri Aziz dan ramai lagi pengkaji politik sememang amat benar.

Parti ini hanya menumpang tuah di kawasan majoriti Melayu. Mendapat kerusi percuma untuk menang dan seterusnya menjadi Menteri dan Timbalan Menteri. Mudah sangat kan? Tidak perlu bersusah payah untuk menang, orang lain menangkan. Bila menang, terus dapat memegang kuasa.

Saya cadangkan jika UMNO, mahu benar-benar bergerak solo, tinggalkan MIC dan MCA, untuk kurang bebanan. MIC dan MCA ini tidak ada jentera, yang penat berkempen nanti adalah UMNO, yang dapat tuah menang MIC dan MCA. Adilkah?

Kerusi Parlimen Tapah itu sendiri, satu-satu kerusi yang dimenangi MIC, sekuat mana MIC. Buatlah kajian. Menteri MIC yang menang itu, menang atas undi siapa. Siapa yang kempen kamu sehingga menang, kalau bukan jentera UMNO.

Kononnya, MIC sanggup menyerahkan kerusi tradisinya kepada UMNO di Cameron Highland, sekuat mana kamu di Cameron Highland tanpa UMNO. Jika MIC dulunya yang bertanding dalam parlimen Cameron Highland, pasti hilang wang deposit

Jika MIC masih mahu mengatakan dirinya kuat, pengundinya ramai, bertandinglah di kawasan yang calon India dalam kalangan PH (PKR dan DAP) bertanding, jangan kacau kawasan UMNO. Janganlah awal lagi sudah menyenaraikan kawasan majoriti Melayu yang selamat untuk menang.

Amaran saya, katakan jika MIC menang diberi 12 kerusi Parliman majoriti Melayu, kawasan selamat seperti yang dicadangkan, termasuk kerusi majoriti Melayu yang ditinggalkan Gerakan, seperti Simpang Renggam.

Katankanlah MIC majoritinya menang di kawasan selamat tersebut kerana kawasan itu memang kuat UMNO. Bila menang nanti, MIC akan mendabik dada, berkata memang dia kuat, memang dapat sokongan rakyat, begitu juga orang India, maka harapan orang India mesti dipenuhi, berikan lebih banyak kerusi Menteri dan timbalan Menteri. Jika tidak akan keluar BN.

Sama juga seperti MCA. UMNO beri lalu bertanding di kawasan selamat, majoriti Melayu. MCA menang banyak kerusi. Lagi bahaya kepada UMNO, bila kedua parti ini bergabung.

PRU15 ini sangat kritikal. Tidak akan satu parti yang akan mendapat majoriti mudah (112/222 kerusi), melain terpaksa bergabung.

Kalau pun ditakdirkan UMNO BN menang, mereka tidak akan mendapat majoriti 112 tersebut, kena cari parti gabungan, terutama Sabah dan Sarawak serta parti-parti lain.

Dalam kata lain, jika banyak kerusi MCA dan MIC menang, ini akan semakin membahayakan UMNO. Mereka akan ugut kerajaan (BN) untuk penuhi permintaan mereka, termasuk memberikan sebanyak mana kerusi Menteri dan timbalan. Ini tidak termasuk mahukan lambakan kuil-kuil mereka menungggu peruntukan, yang belum dilulus dan disahkan.

Jika tidak dipenuhi tuntutan ini, maka mereka akan ugut untuk keluar BN, menjadikan kerajaan akan jatuh. Sudah tentu ini ugutan ini akan menjadi BN memberikan segalanya, bagi memastikan kerajaan yang ketuai tidak jatuh. Apakah UMNO sudah lupa, selepas BN kalah PRU14 siapa yang keluar daripada BN kalau bukan MCA.

MCA dan MIC ini bukan parti yang setia berasaskan semangat setiakawan. Mereka ini parti yang berkepentingan. UMNO kena ingat semua, jangan masuk lubang buaya yang sama. Ingatan daripada Jazlan dan Nazri bukan main-main. Bukan seorang dua kata, malah ramai sudah memperkatakan perkara sama.

PROF DR MOHD RIDHUAN TEE ABDULLAH

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button