Berita Utama

PAS Pulau Pinang fokus satu lawan satu pada PRU15

Elak parti Melayu bertembung selain boleh kekang PH-DAP menang

BANGI, 24 Muharam 1444H, Isnin – PAS Pulau Pinang kini memberi penekanan kepada agenda penyatuan ummah selain berusaha ke arah memastikan pertandingan satu lawan satu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), tidak lama lagi.

Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang, Abdul Razib Abdul Rahim berkata, pertembungan parti-parti Melayu di Pulau Pinang hanya merugikan politik Melayu-Islam.

“Umum mengetahui Pulau Pinang merupakan nadi utama PH-DAP dan agenda penyatuan ummah parti-parti Melayu lebih penting di negeri ini bagi mengekang kemenangan mereka.

“Justeru, satu lawan satu harus dijadikan agenda utama di Pulau Pinang dalam PRU15 kali ini.

“Islam menyatukan ummah merupakan slogan yang wajar digalas dan didukung oleh semua penyokong serta pendukung PAS agar usaha menyatukan parti-parti politik Melayu dapat dijayakan selari dengan syariat dan dasar parti,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Tegas beliau, penyatuan ummah penting serta memerlukan komitmen semua pihak yang terlibat agar pemerintahan DAP di Pulau Pinang dapat digoyahkan dan kepentingan Melayu-Islam di negeri tersebut tidak dinafi atau dianaktirikan.

Atas dasar itu, PAS Pulau Pinang menggesa semua pihak mengenepikan kepentingan peribadi pada PRU15 demi memastikan undi Melayu-Islam dapat disatukan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button