Berita UtamaDunia

Pekerja Palestin di Israel mogok bantah gaji masuk ke akaun bank

Bimbang ada yuran tersembunyi, cukai baharu

TULKARM, 24 Muharram 1444H, Isnin – Puluhan ribu rakyat Palestin yang bekerja di Israel melancarkan mogok pada Ahad sebagai protes terhadap keputusan untuk membayar gaji mereka ke dalam akaun bank dan tidak secara tunai.

Kaedah pembayaran baharu itu telah dipersetujui antara Pihak Berkuasa Palestin (PA) dan Israel bagi mencari cara yang lebih cekap dan selamat untuk membayar gaji.

Namun, pekerja bimbang bahawa yuran tersembunyi dan cukai baharu akan mengurangkan gaji mereka.

Kira-kira 200,000 rakyat Palestin menyeberang setiap hari ke Israel atau penempatan haram Yahudi untuk bekerja, memperoleh purata lebih daripada dua kali lebih banyak daripada mereka yang bekerja di badan dan perniagaan negara Palestin.

Menurut beberapa pekerja, di bawah pengaturan itu, gaji akan dibayar setiap minggu dengan yuran bank ditetapkan pada AS$1 setiap pemindahan.

Menteri Buruh Palestin, Nasri Abu Jeish berkata, pengaturan baharu itu bertujuan untuk melindungi hak pekerja dan tidak ada rancangan untuk mengenakan cukai baharu.

PA – yang mempunyai autonomi terhad di Tebing Barat yang diduduki Israel – bertanggungjawab untuk kira-kira 150,000 pekerjaan sektor awam di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza.

Bajetnya ialah AS$330 juta untuk 2021 dan ia sangat bergantung kepada penderma asing.

Mohammad Khaseeb, 43, yang bekerja di sebuah kilang aluminium di Israel berkata, dia dan ribuan yang lain membantah keputusan yang menurutnya dicapai tanpa mengambil kira pandangan pekerja.

“Mereka membuat keputusan tanpa berunding dengan kesatuan pekerja. Sama ada pekerja bersetuju atau dia kehilangan permit kerjanya,” katanya.

Sementara itu, pekerja binaan, Bassim Al-Waheidi, 55, berkata, selain kehilangan wang kepada yuran dan cukai bank, terdapat kebimbangan mengenai potongan lain yang dibuat.

“Kami menolak gaji kami dipindahkan ke bank Pihak Berkuasa Palestin kerana kami bimbang dengan masa depan dan terdapat krisis kepercayaan,” katanya.

Wakil pekerja berkata, jika keputusan itu tidak dibatalkan mereka akan meningkatkan bantahan mereka dan mungkin mengisytiharkan mogok terbuka. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button