Berita Utama

Pemerintah wajar sekat konsert lalaikan generasi pelapis: PERKID

Budaya negatif jangan dimport masuk ke dalam negara

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 24 Muharam 1444H, Isnin – Pihak yang memegang tampuk pemerintahan sewajarnya menyekat budaya negatif dari luar selain mendidik dengan cara yang sihat dan selamat kepada generasi pelapis negara.

Sekiranya tidak, kerajaan akan ‘dicop’ gagal mencegah kemungkaran bahkan mungkin wajar diboikot dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Menyuarakan pandangan itu, Presiden Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (PERKID), Ustaz Masridzi Sat berkata, tidak seharusnya pesta hiburan ala Barat yang sia-sia dan melalaikan umat Islam dianjurkan di dalam negara ini.

“Budaya yang negatif jangan diimport masuk ke negara kita.

“Selepas ditimpa musibah COVID-19 sepatutnya kita dah berubah dan bertaubat. Jangan ulangi anjur program mungkar yang boleh mengundang bala kemurkaan Allah SWT.

“Jangan didik generasi baru bazirkan duit kepada perkara lalai dan mungkar. Gunakan duit dijalan yang diredhai oleh Allah SWT,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Dalam pada itu, beliau menggesa, kerajaan dan agensi berkaitan menyekat konsert yang telah diatur oleh pihak penganjur pada Ogos hingga Disember ini.

“Teguran berhemah dari kami jika tidak diberikan perhatian akan mengundang tindakan bantahan besar-besaran dari seluruh umat Islam dalam negara nanti.

“Laporan polis besar-besaran juga akan dibuat jika konsert yang dirancang diteruskan kerana ia mengandungi unsur negatif yang merosakkan moral dan akhlak serta melalaikan generasi belia muda-mudi dalam negara kita,” katanya.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berpendirian, penganjuran konsert yang merosakkan tidak perlu diadakan dalam negara.

Tegas beliau, tidak sepatutnya pelaksanaan aktiviti hiburan yang disifatkan sebagai berpotensi mengundang masalah sosial dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Khamis lalu, bintang elektropop, Billie Eilish mengadakan persembahan sulung, Konsert Billie Eilish: Happier Than Ever, The World Tour di Malaysia yang berlangsung di Stadium Bukit Jalil dan dihadiri lebih 25,000 peminat.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button