Berita Utama

Penduduk Alor Gajah bantah jual arak di kedai serbaneka

Tandatangan sokongan diturunkan sahut kempen ‘Malaysia Sejahtera Tanpa Arak’

ALOR GAJAH, 24 Muharram 1444H, Isnin – Kempen ‘Malaysia Sejahtera Tanpa Arak’ sekali lagi menyaksikan kejayaan apabila ratusan penduduk membantah penjualan minuman keras di empat kedai serbaneka.

Wakil Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) Melaka, Syed Mohd Aizuddin berkata, ratusan tandatangan sebagai tanda sokongan telah diturunkan oleh penduduk sekitar Kuala Sungai Baru menunjukkan mereka sangat menyokong usaha ini.

“Tahniah ISMA Alor Gajah, jawatankuasa penduduk, AJK Surau al-Sa’adah Taman Seri Gamelan dan AJK Masjid al-Hasaniah Kampung Pantai dan para penduduk yang hadir yang menyatakan bantahan di sekitar Kuala Sungai Baru.

“Ingin saya tegaskan sekali lagi, arak adalah musuh seluruh manusia, arak bukan keperluan.

“Alkohol yang masuk ke dalam badan mengganggu sel neuron dalam otak hingga boleh menyebabkan peminumnya tidak waras,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Kempen ‘Malaysia Sejahtera Tanpa Arak’ dilancarkan pada Februari lalu oleh ISMA bersama Yayasan Maghfirah, di mana bukan hanya menyasarkan kepada golongan muslim, tetapi juga untuk setiap lapisan masyarakat di negara ini.

Kempen itu turut mendapat sokongan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) lain antaranya PEMBELA, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Persatuan Kebajikan Darul Islah Selangor (PERKID), Malaysia Alliance of Civil Society Organisation (MACSA) dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM).

Kempen itu antaranya menuntut kerajaan agar menetapkan polisi komuniti bebas arak supaya tiada lagi program yang menghidangkan arak secara terbuka dan umum.

Pautan berkaitan;

Bantahan jual arak di kedai serbaneka Sepang disambut Alhamdulillah!


https://ismaweb.net/2022/06/09/kedai-serbaneka-southville-city-terima-memorandum-bantah-jual-arak/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button