Berita Utama

Pertambahan CRK guru kepada 14 hari langkah tepat: iGuru

Cabaran dunia pendidikan kini tak sama khusus di era digitalisasi

BANGI, 24 Muharam 1444H, Isnin – Cadangan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) untuk menambahkan bilangan hari Cuti Rehat Khas (CRK) guru daripada 10 kepada 14 hari dilihat sebagai langkah wajar dan bertepatan.

Ia bukan sahaja diyakini mampu memberi peluang kepada warga guru memanfaatkan cuti untuk tujuan kesejahteraan emosi dan psikologi tetapi juga menguruskan hal-hal peribadi tanpa mengganggu emosi mereka.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Ustaz Mohd Azizee Hasan berkata, langkah berkenaan dilihat relevan berikutan kali terakhir CRK disemak ialah empat tahun lalu dengan dinaikkan cuti dari tujuh kepada 10 hari.

“Kerajaan wajar mempertimbangkan cadangan tersebut untuk penjawat awam khususnya warga guru dengan mengambil kira beban tugas yang semakin mencabar dan rencam.

“Jumlah 10 hari CRK kini dilihat tidak mencukupi untuk guru memandangkan faktor keperluan kehidupan guru sekarang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

18 Ogos lalu, NUTP mencadangkan kerajaan meningkatkan CRK daripada 10 kepada 14 hari dengan kali terakhir perubahan dilakukan empat tahun lalu.

Presidennya, Aminuddin Awang berkata, cadangan itu selaras peningkatan jumlah maksimum pengumpulan gantian cuti rehat (GCR) penjawat awam daripada 150 hari kepada 160 hari bagi award gantian tunai (golden hand shake) seperti dibentangkan pada Belanjawan 2022.

Mengulas lanjut, Ustaz Mohd Azizee berkata, cabaran dunia pendidikan hari ini tidak sama khususnya pada era digitalisasi yang memerlukan kecekapan dan kepantasan mengadaptasikan perubahan dalam pengajaran serta pembelajaran secara digital.

Malah, katanya, kesan pandemik COVID-19 dan era digital menuntut guru mengakses kemahiran baharu, kaedah PdPc dan pelaporan secara maya.

“Situasi terkini sedikit sebanyak memberikan tekanan kepada warga guru serta mencabar emosi dan psikologi mereka,” katanya.

Katanya lagi, guru-guru boleh menjadikan pemberian cuti ini sebagai terapi minda dan jiwa kesan daripada tugas yang mencabar dan berat.

“Masa-masa ini dapat dimanfaatkan untuk urusan kekeluargaan, merapatkan kasih sayang dengan ahli keluarga sekali gus membantu meningkatkan motivasi guru dalam kerjaya mereka.

“Sekiranya kerajaan menimbang untuk menaikkan kadar CRK ini sebanyak 14 hari, ia bukanlah bermakna guru-guru menggunakannya sewenang-wenangnya sebaliknya perlu dilakukan secara berhikmah tanpa ada mana-mana tekanan daripada mana-mana pihak.

“Ia juga bukan bermaksud guru culas dan malas dalam menunaikan tanggungjawab sebagai guru tetapi ia satu penghargaan atas jasa dan sumbangan guru yang telah berkorban mendidik anak bangsa,” katanya.

Katanya lagi, sudah tiba masa kerajaan khusus Jabatan Perkhidmatan Awam mempertimbangkan cadangan ini demi manfaat warga guru serta kelestarian sistem pendidikan negara.

Katanya, pemberian ini diharap dapat menterjemahkan semangat Keluarga Malaysia yang sentiasa prihatin dan cakna kepada rakyatnya khususnya warga guru yang menjadi tunjang sekolah sejahtera.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button