Berita Utama

Pihak desak PM bubar Parlimen kena sedar realiti kerajaan kini

Bukan hanya didominasi BN, tapi didukung juga PN, GPS

BANGI, 24 Muharram 1444H, Isnin – Sebarang keputusan untuk membubarkan Parlimen mesti diputuskan bersama anggota Kabinet serta parti yang mendukung kerajaan.

Ini kerana, kerajaan kini bukan didominasi oleh Barisan Nasional (BN), tetapi turut membabitkan dukungan daripada Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, dalam situasi kini, keutamaan bukan hanya kepada menyegerakan pilihan raya, sebaliknya aspek kepentingan kebajikan rakyat dan isu kedudukan ekonomi negara turut perlu dilihat.

“Bukan soal takut atau tidak bersedia parti politik menghadapi pilihan raya umum, tetapi tindakan beberapa pihak yang menekan PM (Perdana Menteri) secara sepihak perlu menyedari realiti kerajaan hari ini.

“PAS serta komponen PN telah bersedia dalam semua keadaan, bahkan telah melancar jentera pilihan raya negeri-negeri dan pada 3 September ini pelancaran Jentera Pilihanraya Peringkat Kebangsaan akan dilancarkan di Kedah sempena Muktamar PAS Pusat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, PN juga dalam merayakan sambutan dua tahunnya dan akan turut melancarkan jentera pilihan raya pada 27 Ogos ini.

“Maka tidak timbul soal tidak bersedia atau lainnya.

“Kita yakin pihak berkepentingan akan terus menekan PM tanpa melihat realiti parti yang mendukung kerajaan kini,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi gambaran bahawa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) hanya akan diadakan selepas kerajaan bersedia dalam memulihkan ekonomi negara.

Katanya, keputusan untuk mengadakan pilihan raya perlu dibuat dengan teliti selepas mengambil kira semua perkara.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button