Berita Utama

Tinggalkan MCA dan MIC, UMNO jangan terpedaya lagi

Dua parti ini hanya tumpang tuah di kawasan majoriti Melayu

BANGI, 24 Muharram 1444H, Isnin – Keberadaan kedua-dua parti berasaskan kaum – MCA dan MIC – dalam arus politik Malaysia dianggap sudah tidak lagi relevan.

Ini kerana pengaruh parti politik berkenaan boleh dikatakan langsung tiada, namun masih tidak mahu mengakui dirinya lemah, kata pemerhati politik, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah.

“Ada atau tidak MCA, MIC (BN) dalam PRU15 ini sudah tidak relevan lagi, jika UMNO mahu menang.

“Daripada susah payah mengharapkan wujudnya BN sehingga sanggup gadai kerusi majoriti Melayu, yang merupakan maruah Melayu, lebih baik, aktifkan Muafakat Nasional (MN).

“Kita nak tengok, menggeletar atau tidak MCA dan MIC,” katanya menulis di ruangan Kolumnis Ismaweb.net, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau mengakui rasa hairan apabila MCA dan MIC mengatakan partinya kuat dan masih mendapat sokongan kaum masing-masing.

Walhal katanya, bukti kajian menunjukkan, sokongan Cina bukan kepada MCA, begitu juga India kepada MIC, tetapi kepada DAP dan PKR.

“Kalau adapun yang menyokong, bilangannya kecil, meskipun parti ini sentiasa berbangga dengan keahlian yang ramai begitu ramai, melebihi satu juta (MCA).

“Setelah kalah teruk dalam PRU14, mereka menggunakan hujah PRN Melaka dan Johor adalah bukti bahawa sokongan kaum masing-masing telah bertambah. Berapa peratus? Sedikit sangat.

“Walhal, keputusan tetap menunjukkan yang memenangkan mereka mereka sendiri, tetapi, tetap orang Melayu (UMNO). Cuba MCA dan MIC bertanding sendirian di kawasan yang dimenanginya itu, tanpa sokongan Melayu, boleh menang ke tidak?” soalnya.

Atas sebab itu, beliau menganggap dua parti ini hanya menumpang tuah di kawasan majoriti Melayu.

“Mendapat kerusi percuma untuk menang dan seterusnya menjadi Menteri dan Timbalan Menteri. Mudah sangat kan?

“Tidak perlu bersusah payah untuk menang, orang lain menangkan. Bila menang, terus dapat memegang kuasa,” katanya.

Justeru Prof Ridhuan Tee mengesyorkan UMNO meninggalkan MIC dan MCA sekiranya mahu bergerak solo bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut beliau, langkah itu dilihat wajar bagi mengurangkan bebanan.

“MIC dan MCA ini tidak ada jentera, yang penat berkempen nanti adalah UMNO, yang dapat tuah menang MIC dan MCA. Adilkah?,” soalnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button