Berita Utama

Gelagat buruk wakil rakyat di Parlimen memalukan

Terjerit-jerit sampai keluar perkataan beruk dan kera

BANGI, 26 Jamadilawal 1444H, Rabu – Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mengakui malu menyaksikan sidang Parlimen semalam.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu berkata, beliau bukan sahaja malu kepada rakyat tetapi juga dunia luar.

“Baru saya nampak buruknya gelagat ahli Parlimen terjerit-jerit sampai keluar perkataan beruk dan kera.

“Saya perlu mengaku, kini saya insaf kerana pernah terlibat dengan sidang yang kecoh seperti itu. Saya ahli Parlimen dari 2008-2013.

“Tetapi apakah budaya kecoh perlu berterusan. Rakyat yang tekun mendengar ahli Parlimen berhujah turut terganggu bila yang berhujah diganggu oleh ahli Parlimen tidak berdisiplin,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Serentak itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit itu mencadangkan supaya Peraturan Tetap Dewan Rakyat dipinda bagi menjadikan ahli-ahli Parlimen lebih bersopan.

Beliau berpendapat ia wajar dilaksanakan sekiranya akta antilompat parti boleh dibuat.

Antaranya tidak lagi membenarkan pencelahan semasa ahli Parlimen sedang bercakap.

“Mungkin boleh dicontohi Standing Order Perkara 45 (2) Dewan Negeri Johor di mana pencelahan tidak dibenarkan melainkan jika menyalahi peraturan mesyuarat.

“Ini membolehkan setiap ahli Dewan dapat berhujah, mengkritik, menegur dan memberi pandangan dengan lancar tanpa gangguan,” katanya.

Katanya lagi, ada yang mencadangkan supaya Parlimen menggunakan budaya mahkamah bila berhujah, yang mana pendakwa dan peguam bela berdebat secara bersopan kerana mereka hormat arahan hakim.

“Bolehkah itu dibuat? Masalahnya ramai ahli Parlimen adalah peguam dan ada bekas hakim. Tetapi bila masuk Parlimen, mereka lagi kuat menjerit dan tidak patuh arahan Speaker,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button