Berita Utama

Kes Najib: Junjunglah Perlembagaan, prinsip Rukun Negara

Biar badan kehakiman bebas dari pengaruh dalam kes berprofil tinggi

BANGI, 25 Muharam 1444H, Selasa – Semua pihak perlu menjunjung Perlembagaan dan prinsip Rukun Negara dengan tidak mempertikaikan badan kehakiman dalam membuat keputusan terhadap rayuan terakhir bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Persekutuan.

Setiausaha Agung Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN), Dr Amir Hamzah Abdul Rajak berkata, semua pihak seharusnya memegang erat prinsip yang ada dalam Rukun Negara iaitu keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

Justeru, beliau tidak bersetuju dengan gerakan tertentu yang mengajak rakyat untuk berdemontrasi pada Jumaat ini, sebagai menunjukkan ketidakpuasan hati mereka terhadap badan kehakiman negara.

“Cuba bayangkan kalau setiap kali ada kes sebegini rupa, ada pihak yang tidak berpuas hati kemudian diheret pula orang-orang awam untuk demontrasi, apa akan jadi dengan negara kita?

“Ini sesuatu yang harus kerajaan banteras daripada akar umbi. Perlu hapuskan perkara ini dan biarkan badan kehakiman bebas,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata, dalam kes SRC International, biarlah ia ditentukan oleh mahkamah berdasarkan hujahan peguam dilantik serta kebijaksanaan panel hakim dalam membuat keputusan.

“Kita kena sedia maklum dunia sedang melihat kita dalam kes SRC International dan 1MDB ini kerana ia menjadi mata dan telinga dunia. Semua orang mahu mendengar dan melihat apa yang berlaku.

“Dan kita sangat berharap bahawa badan kehakiman ini diberi kuasa mutlak dan bebas daripada apa juga pengaruh dalam membuat keputusan, terutamanya dalam kes-kes berprofil tinggi,” katanya.

Dr Amir berkata, proses perundangan telah mengambil tempat sewajarnya dalam kes membabitkan bekas Perdana Menteri itu, dan kini giliran untuk proses kehakiman pula menentukan.

“Saya minta semua pihak dan kerajaan juga tegas dalam hal ini untuk memastikan kebebasan badan kehakiman mesti diberi keutamaan, dan mana-mana pihak yang cuba memperkotak-katikkan badan kehakiman ini mestilah segera diambil tindakan.

“Sekiranya tidak, perkara yang sama akan berlaku untuk kes lain pula. Sampai bila rakyat akan demontrasi? Setiap kali rakyat berdemontrasi, apa akan jadi dengan Malaysia?,” katanya.

Berita berkaitan;

Permohonan Shafee tangguh hujah prosiding ketua hakim tarik diri ditolak

Permohonan Shafee tangguh hujah prosiding ketua hakim tarik diri ditolak

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button