Berita Utama

LCS: PAC minta Kabinet buat ketetapan pada mesyuarat akan datang

Minta pengauditan forensik lanjut dilaksana BHIC ke atas projek LCS

KUALA LUMPUR, 25 Muharam 1444H, Selasa – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) meminta supaya Kabinet membuat beberapa ketetapan pada Mesyuarat Kabinet akan datang susulan Laporan Pengauditan Forensik berkaitan program kapal tempur pesisir (LCS) yang dinyahklasifikasikan.

Pengerusi PAC Wong Kah Woh dalam satu kenyataan meminta supaya pengauditan forensik lanjut dilaksanakan oleh Boustead Heavy Industries Corporation Bhd (BHIC) ke atas projek LCS bagi melengkapi segala transaksi dan aktiviti berkenaan dengan pelaksanaan projek dan Surat Anugerah (LOA) dari 2015 sehingga kini.

“Walaupun kebanyakan LOA dikeluarkan oleh Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) dalam tempoh tersebut, namun pelaksanaannya adalah sekurang-kurangnya sehingga 2018.

“Laporan mendapati selagi kesemua transaksi dan aktiviti berkenaan dengan pelaksaannya sehingga 2018 belum disiasat dengan mendalam, berkemungkinan fakta-fakta penting untuk pembuktian kelakuan jenayah akan ditinggalkan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) berkenaan enam buah projek kapal peronda generasi baru (NGPV), Integrated Logistics Support dan Commercial Package Programme oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) juga harus dinyahklasifikasikan.

Katanya, ini memandangkan timbulnya isu penggunaan wang peruntukan LCS untuk pembayaran hutang lapuk NGPV oleh BNS. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button