Pembangkang manipulasi segala ‘perkakas’ masih ada untuk PRU15
Zahid Hamidi dakwa mungkin 'khemah besar' telah gerak dalam samar

BANGI, 25 Muharam 1444H, Selasa – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa pembangkang sedang memanipulasi segala ‘perkakas’ yang masih ada dalam pegangan menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Tanpa menjelaskan maksud ‘perkakas’ itu, beliau menyifatkan pembangkang sedang berusaha keras melencongkan fikiran rakyat daripada mengingati kisah kegagalan mereka.
Katanya, langkah itu bertambah ganas dan terdesak sejak terzahir manifestasi rakyat yang mahukan Barisan Nasional (BN) kembali.
“Gabungan politik mereka tewas teruk kepada BN dalam banyak PRK (pilihan raya kecil) serta pada PRN (pilihan raya negeri) di Melaka dan Johor.
“Barangkali juga mereka sedang menggerakkan apa direncanakan dalam dokumen sulit yang terdedah April lalu, atau ‘khemah besar’ telah pun bergerak dalam samar sebab itu terlihat keseragaman serangan ketika ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ahmad Zahid yang terpalit beberapa skandal salah laku mendakwa, pembangkang sedar rakyat masih tidak lupa keadaan buruk ketika negara berada di bawah pentadbiran mereka.
Beliau berkata, pembangkang juga tahu rakyat masih terkesan dengan segala pembohongan serta janji-janji palsu dalam PRU14.
“Apakah ‘ops divertion’ mereka untuk menyekat keazaman rakyat mengembalikan kemakmuran dan kestabilan akan berjaya?
“Jawapannya masa juga akan menentukan kerana rakyat ‘hakim’ PRU15. Rakyat selepas PRU14 lebih bijak dan saksama,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, BN tidak akan berundur atau tersekat, sebaliknya terus mara ke hadapan.
“Kerana kita yakin walau apa mereka sedang gerakkan dan lakukan menggunakan ‘perkakas’ mereka, rakyat sudah mengerti.
“Mengerti sejauh mana lawan BN sanggup menyanggah matlamat tidak menghalalkan cara demi memperoleh kuasa,” katanya.
Ahmad Zahid kini antara pemimpin parti yang menjadi tumpuan rakyat kerana terpalit dengan beberapa skandal salah laku, termasuk pertuduhan sedang dibicarakan di mahkamah ketika ini.
Beliau dituduh atas 47 kes membabitkan 12 pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi berjumlah RM65 juta.
Selain itu, nama Ahmad Zahid juga diheret dalam isu kontroversi berkaitan projek kapal tempur pesisir (LCS) yang gagal disiapkan sehingga sekarang walaupun RM6 bilion sudah dibayar.